bisnes

Hotel rugi RM66 juta

Oleh Rosyahaida Abdullah

PENULARAN wabak Covid-19 telah menyebabkan pembatalan lebih 155,000 tempahan bilik hotel dengan anggaran kerugian sebanyak RM66 juta.

Presiden Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Kamaruddin Baharin berkata, jumlah itu meliputi tempahan bilik hotel dibawah MAH sehingga bulan depan (Mac) namun beberapa pembatalan juga sudah diterima pihaknya bagi tempahan penginapan untuk April tahun ini yang membabitkan beberapa kumpulan pelancong.

"Sangat sedih untuk melihat delegasi dan peserta konvensyen turut membatalkan tempahan mereka disebabkan situasi ini (Covid-19).

“Malah, saya difahamkan ada hotel yang berdepan penurunan kadar penginapan kepada 20 hingga 30 peratus saja berbanding 80 peratus sebelum ini.

"Apapun, kami di MAH berharap wabak Covid-19 akan segera hilang dan menemui penyelesaian terbaik selain menunggu berita baik daripada kerajaan dalam pakej rangsangan ekonomi seminggu lagi," katanya pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurutnya, pembatalan itu sebahagian besarnya dari pasaran China, namun terdapat juga laporan pembatalan daripada pasaran domestik, Singapura, Hong Kong, Taiwan, Vietnam dan Eropah, manakala pembatalan dari Korea Selatan meningkat selepas kerajaannya mengeluarkan nasihat terhadap perjalanan ke Malaysia.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: February 20, 2020 @ 7:09pm
    d