bisnes

Kurang cukai pelancongan

Oleh Rosyahaida Abdullah

PENGURANGAN cukai pelancongan sehingga 90 peratus antara lebih 10 cadangan yang dikemukakan Persatuan Hotel Malaysia (MAH) kepada kerajaan untuk dipertimbangkan dalam pakej rangsangan ekonomi yang akan diumumkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad minggu depan.

Presidennya, Kamaruddin Baharin berkata, permintaan sebenar pihaknya adalah untuk menghapuskan cukai itu namun menyedari ia sudah diaktakan yang menghalang daripada dihapus terus, MAH berharap permohonan pengurangan terbabit dapat dipenuhi bagi menjamin kemapanan industri pelancongan khususnya sektor perhotelan di negara ini.

Beliau juga mengakui turut memohon insentif tambahan dalam bentuk pengurangan tarif elektrik yang menjadi kos kedua tertinggi selepas pembayaran gaji bagi sektor perhotelan untuk membantu industri terus berdaya saing.

“Selari dengan Tahun Melawat Malaysia 2020, permohonan MAH adalah menghapuskan cukai pelancongan yang dikenakan kepada pelancong asing namun hakikatnya ia tidak boleh berlaku disebabkan cukai pelancongan sudah diaktakan.

“Bagaimanapun, menteri boleh melakukan pengurangan pada kadar cukai terbabit justeru kami memohon insentif terbaik dalam perkara ini iaitu dengan menurunkan cukai sedia ada daripada RM10 kepada RM1 bagi setiap malam untuk setiap bilik.

“Saya kira jika insentif ini tidak diberi perhatian, ia tidak akan membantu hotel untuk kembali mapan. Paling penting, semua cadangan yang kami kemukakan mengambil kira langkah paling munasabah untuk pertimbangan kerajaan,” katanya.

Kamaruddin berkata, hasil kaji selidik pihaknya sehingga kelmarin mendapati tempahan bilik hotel membabitkan 155,000 malam yang dianggar mencecah RM66 juta dibatalkan pelanggan dipercayai susulan daripada kemunculan wabak Covid-19 di negara ini sejak awal bulan lalu.

Katanya, jumlah itu meliputi tempahan bilik hotel dibawah MAH sehingga bulan depan namun beberapa pembatalan juga sudah diterima pihaknya bagi tempahan penginapan untuk April tahun ini yang membabitkan beberapa kumpulan pelancong.

“Sangat sedih melihat delegasi dan peserta konvensyen turut membatalkan tempahan mereka disebabkan situasi ini (Covid-19).

“Malah, saya difahamkan ada hotel yang berdepan penurunan kadar penginapan kepada 20 hingga 30 peratus saja berbanding 80 peratus sebelum ini.

“Apapun, kami di MAH berharap wabak Covid-19 akan segera hilang dan menemui penyelesaian terbaik selain menunggu berita baik daripada kerajaan dalam pakej rangsangan ekonomi,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: February 21, 2020 @ 6:25am
    d