bisnes

Tanda tanya pakej rangsangan

Oleh BERNAMA

KETIDAKTENTUAN politik yang mencetuskan kekalutan pada hujung minggu lalu, kini dilihat semakin reda selepas Tun Dr Mahathir Mohamad dilantik sebagai perdana menteri interim.

Bagaimanapun, berdasarkan senario politik semasa, kalangan perniagaan sebaliknya bimbang jika pakej rangsangan ekonomi dijadual diumumkan Khamis ini terjejas serta ditamatkan.

Bagi kalangan penganalisis, pakej bertujuan memacu ekonomi tempatan dalam persekitaran kelembapan ekonomi global akibat Covid-19 itu sememangnya amat diperlukan, lebih-lebih dalam keadaan sekarang.

“Kami percaya butiran pakej rangsangan itu diperhalusi sebelum kemelut politik itu berlaku. Malah, dari sudut ekonomi misalnya, kami yakin Dr Mahathir menyedari kepentingan pakej itu bagi melonjakkan ekonomi.

“Namun berdasarkan perkembangan semasa, kami menjangkakan pengumuman mengenainya akan dibuat lebih lewat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid (gambar) berkata, pakej rangsangan ekonomi itu diperlukan berkutan ketidaktentuan ekonomi yang terus ketara selain akibat faktor penyusutan perbelanjaan perniagaan serta pengguna.

“Jika perkara ini dibiarkan tanpa tindakan, ia memberi kesan terhadap agregat permintaan selain memburukkan lagi kelembapan ekonomi,” katanya.

Mengulas rangsangan fiskal, beliau berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) setakat ini memainkan peranan dengan mengurangkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebelum ini dan dijangka disusuli satu lagi penurunan pada Mac atau Mei ini.

“Saya percaya langkah semasa diambil bank pusat itu melengkapi usaha bagi memperkukuh ekonomi di masa depan,” katanya.

Pada bulan lalu, BNM tanpa dijangka menurunkan OPR 25 mata asas kepada 2.75 peratus - terendah sejak Mac 2011 dan menyifatkan masih ada ruang penurunan berikutnya bagi merangsang pertumbuhan ekonomi.

Sejak penularan Covid-19 pada pertengahan Januari, indeks utama Bursa Malaysia, FBM KLCI susut 57 mata kepada 1,531.20 dan menyaksikan sektor pembuatan, pelancongan dan logistik terjejas.

Malah, sebagai membuktikan kepentingan pakej itu, Malaysia bukan satu-satunya negara Asean yang merancang memperkenalkan inisiatif sedemikian bagi menangani impak Covid-19.

Thailand misalnya, berhasrat membentangkan cadangan pakej rangsangan ekonomi baharu kepada Kabinet pada pertengahan Mac ini dengan harapan dapat memacu ekonomi negara itu pada bulan berikutnya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: February 26, 2020 @ 10:42am
    d