bisnes

Qualitas perkenal khidmat pemeriksaan dari rumah

Oleh Murnaena Muhammad Nasir

PENYEDIA penjagaan kesihatan, Qualitas Medical Group (Qualitas) memperkenalkan Perkhidmatan Pemeriksaan Covid-19 apabila individu yang mengalami simptom demam, selesema, batuk atau sesak nafas boleh membuat pemeriksaan dari rumah.

Pengarah Urusannya Datuk Dr Noorul Ameen Mohamed Ishack berkata, program ini di bawah pemantauan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan kerjasama DoctorOnCall dan Clinipath (M) Sdn Bhd.

“Kami percaya perkhidmatan ini adalah penyelesaian holistik dan komprehensif kerana pesakit boleh menggunakan teleperubatan yang secara tidak langsung mengurangkan risiko pendedahan Covid-19.

“Pesakit yang ingin mendapatkan perkhidmatan ini perlu mendaftar di laman web DoctorOnCall,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Menurutnya, pesakit yang berdaftar akan dihubungi oleh pegawai perubatan untuk pengesahan status kelayakan.

“Kami akan pergi mengambil sampel di rumah pesakit berisiko tinggi untuk pemprosesan makmal. Seterusnya, keputusan sampel akan dikeluarkan secara lisan atau melalui e-mel dalam tempoh 24 jam.

“Pesakit yang menggunakan Perkhidmatan Pemeriksaan Covid-19 oleh Qualitas ini akan dikenakan caj RM700 seorang.

“Sekiranya pesakit disahkan positif, doktor yang bertugas akan memberi nasihat untuk langkah seterusnya mengikut garis panduan daripada KKM,” katanya.

Qualitas mempunyai lebih 1,700 doktor perubatan, doktor gigi dan kakitangan sokongan serta memiliki 20 tahun pengalaman dalam industri penjagaan kesihatan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 12, 2020 @ 6:00am
    d