bisnes

Malindo Air pindah 15 pesawat

MALINDO Air memindahkan separuh angkatan pesawatnya kepada syarikat sekutu, Batik Air bermula bulan ini sebagai sebahagian langkah menghadapi kekurangan pendapatan disebabkan penularan Covid-19.

Syarikat penerbangan itu memindahkan 15 pesawat Boeing 737 selain mengurangkan 50 peratus kapasiti penerbangannya, menurut laporan daripada firma data industri pelancongan dan analisis, Cirium.

Malindo Air dan Batik Air anak syarikat Lion Air Group yang berpangkalan di Indonesia.

Namun, tidak dapat dipastikan pemindahan pesawat itu membabitkan hanya model 737-800 atau kombinasi dengan model 737-900ER.

Malindo Air dalam maklum balasnya kepada Cirium menjelaskan pemindahan pesawat bermula bulan ini selain penggantungan penerbangan ke China.

Angkatan pesawat Malindo Air yang dalam perkhidmatan ketika ini membabitkan 24 pesawat Boeing 737-800 dan enam pesawat Boeing 737-900ER selain 12 pesawat ATR 72-600, manakala satu dalam simpanan.

Pemindahan itu menambah angkatan pesawat Batik Air kepada 73 pesawat berbanding 58 pesawat ketika ini.

Angkatan pesawat Batik Air terdiri daripada 44 Airbus A320ceo, masing-masing satu A320neo dan A330-300, selain 12 Boeing 737-800 dan 737-900ER.

Malindo Air sebelum ini mengarahkan kakitangannya mengambil cuti dua minggu tanpa gaji dan potongan gaji 50 peratus susulan Covid-19 yang menjejaskan permintaan terhadap perkhidmatan penerbangan serta industri lebih meluas.

Dalam memo dalaman yang dihantar itu baru-baru ini, Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu, Kapten Mushafiz Mustafa Bakri berkata, Malindo Air melaksanakan beberapa langkah untuk menghadapi kekurangan pendapatan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 13, 2020 @ 7:30am
    d