bisnes

Tesco beroperasi seperti biasa

Oleh Bisnes Metro

SEMUA cawangan Tesco Stores (Malaysia) Sdn Bhd dan juga platform beli-belah dalam talian, Tesco Online akan terus dibuka seperti biasa semasa Perintah Kawalan Pergerakan mulai esok hingga 31 Mac ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Tesco, Paul Ritchie memberi jaminan kepada pelanggan bahawa Tesco mempunyai stok yang mencukupi dan akan terus menambah produk penting di cawangannya untuk memenuhi permintaan dalam tempoh ketidaktentuan yang disebabkan oleh pandemik Covid-19.

“Cawangan kami lebih sibuk daripada biasa, kerana ramai pelanggan yang membeli barangan harian dalam kuantiti yang tinggi.

“Walaupun pelanggan mungkin mendapati yang beberapa barangan kelihatan seperti sudah kehabisan kerana permintaan yang tinggi, saya ingin meyakinkan semua pelanggan bahawa stok baru sentiasa dihantar ke setiap cawangan dan rakan sekerja kami bekerja sepanjang masa untuk mengisi rak di mana-mana cawangan kami secepat yang mungkin," katanya.

Beliau berkata, pihaknya bekerjasama rapat dengan pembekal untuk mengekalkan bekalan semua produk utama, terutamanya makanan segar dan beku, barangan runcit kepentingan rumah dan barangan-barangan bukan makanan yang penting.

“Kami meminta pelanggan untuk membeli barangan seperti biasa dan hanya membeli apa yang mereka dan keluarga mereka perlukan.

"Kami faham kebimbangan kerana pandemik ini tetapi membeli lebih daripada yang diperlukan kadang-kadang bermakna bahawa orang lain tidak dapat memenuhi keperluan mereka. Ia cukup untuk semua orang jika kita bekerjasama,” katanya.

Ritchie juga menggalakkan pelanggan untuk menggunakan aplikasi Scan & Shop yang baru dilancarkan bulan lalu apabila membeli-belah barangan di Tesco.

"Pelanggan kami boleh berbelanja dengan mudah melalui aplikasi Scan & Shop, kami yang akan membantu mereka menjejaki perbelanjaan dan mengimbas pembelian mereka ketika membeli-belah di cawangan kami.

“Bukan sahaja mereka boleh mengurangkan masa membeli-belah mereka, mereka juga boleh mengurangkan hubungan fizikal semasa dalam cawangan kami," kata Ritchie.

Aplikasi itu boleh dimuat turun secara percuma di Google Play Store dan App Store.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: March 17, 2020 @ 7:21pm
    d