bisnes

Angkasa saran tangguh potongan gaji

Oleh Bisnes HM

ANGKATAN Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) menyarankan pelanggan yang menggunakan perkhidmatan Sistem Potongan Gaji Angkasa terutamanya 580 koperasi kredit dan perbankan komersial termasuk bank koperasi, menawarkan moratorium iaitu penangguhan sementara bayaran ansuran bulanan sekurang-kurangnya dalam tempoh tiga bulan.

Angkasa dalam kenyataan berkata, pelaksanaan itu perlu dipertimbangkan secara serius memandangkan individu yang terdiri daripada pekerja syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau swasta yang menjadi pelanggan kepada koperasi atau bank koperasi mungkin akan terkesan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berbanding individu yang bekerja di sektor awam.

“Kami menyambut baik keputusan oleh bank komersial termasuk bank koperasi yang

akan melaksanakan moratorium sehingga enam bulan dan memohon supaya ia diperluaskan juga kepada koperasi yang melanggan perkhidmatan kewangan mereka,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, Angkasa juga menyokong penuh inisiatif Kementerian Pembangunan

Usahawan dan Koperasi (Medac) yang menawarkan sistem moratorium kepada koperasi dengan menawarkan kemudahan penangguhan pembayaran pinjaman sehingga enam bulan.

“Produk ini kebiasaannya membabitkan pembiayaan kepada koperasi yang menawarkan pembiayaan peribadi kepada anggota koperasi.

“Ini adalah langkah yang amat baik supaya koperasi boleh menstrukturkan kembali pembiayaan peribadi terutamanya kepada anggota yang mendapat kesan secara langsung,” katanya.

Katanya, mana-mana koperasi yang ingin memohon penangguhan bayaran balik pinjaman daripada bank, institusi kewangan atau Tabung Modal Pusingan (TMP) Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) juga kepada mana-mana koperasi yang bercadang membenarkan penangguhan

ansuran bayaran balik anggotanya boleh mengemukakan surat rasmi ke potongan@angkasa.coop untuk tindakan selanjutnya oleh Angkasa.

“Sejajar dengan prinsip koperasi yang ketujuh iaitu berprihatin terhadap masyarakat, kami berharap cadangan yang dikemukakan dapat meringankan beban kewangan rakyat Malaysia yang terkesan terutamanya anggota koperasi di samping memberi tempoh kepada koperasi untuk mengurus kewangan dalam suasana ekonomi yang mencabar berikutan impak Covid-19,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 23, 2020 @ 4:52pm
    d