bisnes

Beri ruang penyewa bina perniagaan

Oleh Syarifah Dayana Syed Bakri dan Sri Ayu Kartika Amri

PIHAK swasta disarankan bertolak ansur dengan penyewa yang menghadapi kekangan aliran tunai.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, langkah ini perlu dilakukan supaya penyewa terutama pengusaha mempunyai lebih ruang untuk membangunkan semula perniagaan masing-masing.

Katanya, kerajaan juga ingin menyarankan penyewa premis swasta memainkan peranan sama-sama membina semula ekonomi negara.

"Kita harus ingat, jika perniagaan mereka ditutup, penyewa juga akan kekurangan potensi untuk mendapat hasil sewaan," katanya dalam Laporan Laksana Ke-14 Pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) di sini, semalam.

Perdana Menteri ketika mengumumkan Pakej Prihatin Tambahan memaklumkan, kerajaan akan mengecualikan bayaran sewa atau memberi diskaun sewaan untuk peniaga runcit PKS bagi premis yang dimiliki oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Justeru, kerajaan turut menggesa pemilik premis swasta turut memberikan kemudahan sama dengan mengurangkan kadar sewa premis sekurang-kurangnya dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan tiga bulan selepas tempoh itu berakhir.

Selain itu, pemilik bangunan atau ruang perniagaan yang memberikan pengurangan atau pelepasan sewa kepada penyewa premis perniagaan yang terdiri daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) juga akan diberi potongan cukai tambahan bersamaan dengan amaun pengurangan sewa itu bagi April 2020 hingga Jun 2020.

Potongan cukai tambahan ini diberikan tertakluk kepada syarat pengurangan sewa, iaitu sekurang-kurangnya 30 peratus daripada kadar sewa asal bagi tempoh berkenaan.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: July 23, 2020 @ 6:55am
    d