bisnes

Salur jika kena PKPB

Oleh Rosyahaida Abdullah

Kuala Lumpur: Pemberian moratorium secara bersasar lebih sesuai dilaksanakan khususnya kepada rakyat yang terbabit dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di empat negeri ketika ini bagi memastikan kemudahan itu disalurkan kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

Pensyarah Kanan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Fakarudin Kamarudin berkata, jika dibandingkan dengan kaedah pemberian moratorium secara automatik, moratorium bersasar dilihat lebih cekap dan berkesan khususnya dalam mengawal perbelanjaan peminjam.

"Pada saya, dasar monetari Bank Negara Malaysia (BNM) dapat memfokuskan secara lebih terperinci siapa yang benar-benar memerlukan kemudahan moratorium ini.

"Misalnya, PKS (perusahaan kecil dan sederhana) dan PKS mikro yang belum pulih sepenuhnya selain individu yang kehilangan pekerjaan.

"Kaedah bersasar juga mampu membentuk disiplin serta corak perbelanjaan segelintir masyarakat yang tidak memanfaatkan kemudahan moratorium sebelum ini dengan baik.

"Kita tidak mahu mereka membelanjakan wang bayaran moratorium untuk pembelian barangan bukan keperluan asas sehingga akhirnya nanti mereka berdepan masalah membuat pembayaran semula selepas tempoh moratorium tamat," katanya.

Menurutnya, dasar fiskal kerajaan sudah menyalurkan kira-kira RM100 bilion untuk moratorium itu dan jika ia diberi lagi secara automatik, sudah tentunya kerajaan terpaksa menambah jumlah bantuan yang secara tidak langsung meningkatkan kadar defisit negara.

"Dengan kaedah pemberian bersasar, kerajaan dapat menyalurkan bantuan dalam bentuk lain kepada rakyat," katanya.

Sementara itu, Profesor Madya di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi UPM, Dr Normaz Wana Ismail berkata, kemudahan moratorium perlu terus diberikan kepada mereka yang terkesan dengan pelan pembayaran perlu disemak semula antara peminjam dan pihak bank.

"Bagi mereka yang bekerja sendiri, walaupun kerajaan masih membenarkan aktiviti ekonomi berjalan seperti biasa, pendapatan masih terjejas dan tidak stabil yang akan menyebabkan kesukaran membayar pinjaman seperti sebelum ini.

"Begitu juga dengan mereka yang kehilangan pekerjaan dan masih belum mendapat sebarang pekerjaan baik secara sambilan mahupun tetap, kemudahan moratorium tentunya melegakan mereka sementara mencari pekerjaan baharu," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 16, 2020 @ 7:10am
    d