bisnes

Bank Islam sedia terima permohonan ETRA B40, M40

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Bank Islam Malaysia Berhad bersedia menerima permohonan bagi Bantuan Pembayaran Balik Bersasar yang Ditambah Baik (ETRA) daripada segmen B40, M40 dan perusahaan mikro yang teruk terjejas akibat pandemik Covid-19, mulai hari ini.

Menurut kenyataan bank itu semalam, pelanggan boleh melayari laman web di www.bankislam.com/covid-19 untuk mendapatkan borang permohonan, mengemukakan pertanyaan dan memperoleh makluman lanjut berkenaan bantuan pasca-moratorium Bank Islam.

Permohonan juga boleh dibuat dengan mengimbas kod QR atau menghubungi Pusat Panggilan Bank Islam di 03-26900900.

Penambahbaikan bantuan itu diumumkan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, semasa pembentangan Belanjawan 2021 pada Jumaat, 6 November lalu.

Menurut Bank Islam, individu B40 (penerima Bantuan Sara Hidup/Bantuan Prihatin Rakyat), perusahaan mikro (sebagaimana takrifan SME Corporation Malaysia untuk kemudahan dengan amaun diluluskan sehingga RM150,000) dan individu M40 yang berdaftar dengan pangkalan data Bantuan Prihatin Nasional (individu/isi rumah terjejas) boleh mendapat penangguhan bayaran ansuran bulanan tiga bulan atau pengurangan sehingga 50 peratus bayaran ansuran bulanan sehingga enam bulan.

Daripada ketiga-tiga kumpulan itu, hanya individu M40 yang berdaftar dengan pangkalan data Bantuan Prihatin Nasional (individu/isi rumah terjejas) perlu mengemukakan Borang Pengisytiharan Kendiri, kata bank itu.

Menurutnya, bantuan itu disediakan untuk semua pembiayaan yang diluluskan sebelum 1 Oktober lalu dan tidak tertunggak selama lebih 90 hari pada waktu permohonan.

Pelanggan yang menerima sebarang bentuk bantuan pembayaran balik dan berhasrat memohon bantuan lanjut di bawah langkah tambahan ini masih boleh berbuat demikian dengan menghubungi Bank Islam, menurut bank itu.

Ketua Pegawai Eksekutif, Mohd Muazzam Mohamed berkata, sejak penularan pandemik Covid-19, pihaknya menawarkan pelbagai bentuk kemudahan bagi meringankan kekangan kewangan pelanggan.

"Bank Islam sedar pandemik ini mengakibatkan ketidaktentuan dan menggesa pelanggan kami supaya sentiasa menyemak kedudukan kewangan masing-masing.

"Mesej kami sentiasa konsisten sejak dari mula iaitu kami bersedia membantu. Sekiranya pelanggan memerlukan bantuan, hubungi kami dan kami akan berusaha sedaya upaya membantu anda mengatasi situasi mencabar ini. Sama seperti bantuan pembayaran balik bersasar, bantuan pembayaran balik bersasar yang ditambah baik ini disediakan sehingga Jun tahun depan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: November 23, 2020 @ 7:01am
    d