bisnes

Bayaran GKP 2.0 mulai 30 November ini

Oleh Bisnes HM

Kuala Lumpur: Bayaran bagi Geran Khas Prihatin (GKP 2.0) akan dibuat mulai 30 November 2020 dengan hampir 304,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mikro layak menerima bantuan berkenaan.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, jumlah berkenaan adalah lebih daripada sasaran asal iaitu 200,000 PKS mikro.

"Sehubungan itu, kerajaan menganggarkan peruntukan GKP 2.0 adalah sebanyak RM912 juta, iaitu peningkatan daripada peruntukan asal sebanyak RM600 juta.

"Pembayaran akan dikreditkan terus ke akaun bank yang didaftarkan ketika permohonan GKP 2.0 mulai 30 November ini dan semakan status kelulusan boleh dibuat mulai 27 November 2020 di https://gkp.hasil.gov.my," katanya.

Menurutnya, mengambil kira kelulusan GKP 1.0 dan GKP 2.0, jumlah keseluruhan penerima pada tahun 2020 adalah hampir 849,000 PKS mikro dengan jumlah bantuan kewangan sebanyak RM2.55 bilion.

"Di bawah GKP asal yang diumumkan sebelum ini, lebih 545,000 PKS mikro seluruh negara telah menerima manfaatnya dengan jumlah keseluruhan bantuan sebanyak RM1.63 bilion.

"Bagi memastikan PKS mikro yang benar-benar layak menerima bantuan ini dan memenuhi syarat-syarat ditetapkan, setiap permohonan yang diterima Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) telah disemak silang atau diverifikasi dengan data agensi kerajaan berkaitan termasuk di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM)," katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Di bawah pakej rangsangan ekonomi Kita Prihatin, kerajaan telah membuka semula GKP 2.0 iaitu bantuan kewangan secara one-off berjumlah RM3,000 kepada PKS mikro berkelayakan dan tidak pernah menerima GKP sebelum ini.

Tujuan GKP 2.0 adalah bagi meringankan beban kewangan perniagaan yang dihadapi ekoran penularan wabak Covid-19 dan bagi meningkatkan produktiviti pengeluaran dan perkhidmatan demi kelangsungan PKS mikro.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: November 23, 2020 @ 9:12pm
    d