bisnes

Darurat: Aktiviti ekonomi terus berfungsi

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini memberi jaminan bahawa aktiviti ekonomi negara akan terus berfungsi sepanjang tempoh darurat namun tertakluk kepada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan.

Malah, beliau menegaskan bahawa kerajaan akan turut memastikan aktiviti ekonomi tidak terhenti agar rakyat dapat terus bekerja manakala perniagaan, perdagangan dan industri mampu beroperasi seperti biasa.

"Kerajaan juga komited untuk memastikan amalan-amalan tadbir urus terbaik terus diamalkan sepanjang tempoh pelaksanaan darurat ini.

"Organisasi kawal selia negara yang diiktiraf di peringkat antarabangsa iaitu Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan Bursa Malaysia akan terus memainkan peranan mereka sebagai pemangkin pengawal selia dan pemudah cara syarikat dan pasaran," kata beliau dalam perutusan khas darurat yang disiarkan secara langsung menerusi stesen televisyen tempatan hari ini.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi perkenan Pengisytiharan Proklamasi Darurat yang dilaksanakan sehingga 1 Ogos sebagai langkah proaktif membendung wabak Covid-19 di negara ini.

Dalam pada itu, Perdana Menteri juga menjelaskan kepada pihak berkepentingan bahawa Malaysia masih terbuka untuk perniagaan dalam menghadapi masa yang mencabar ini.

"Tempoh darurat ini akan memberi kita ketenangan dan kestabilan yang diperlukan selain membolehkan kita menumpukan usaha pemulihan ekonomi dan pertumbuhan.

"Kita kekal komited terhadap tadbir urus yang baik dalam tempoh-tempoh ini dan mempunyai ekosistem pengawalseliaan yang kukuh dan dinamik," kata beliau.

Muhyiddin berkata kerajaan telah menggerakkan strategi enam peringkat sejak Mac tahun lepas yang turut disertakan dalam Belanjawan 2021 dan mampu memacu semula ekonomi.

Kestabilan yang berterusan itu sudah pasti akan membolehkan negara kekal bertahan serta dapat membina landasan pemulihan ekonomi yang telah diusahakan secara gigih sejak tahun lepas, kata Perdana Menteri.

Berita berkaitan:

  • Badan kehakiman berfungsi seperti biasa: PM
  • Kekal tenang, bersatu membendung Covid-19: PM
  • Darurat bukan untuk halang pilihan raya: PM
  • Agong berkuasa untuk masyhur ordinan sepanjang darurat
  • Pilihan raya tak akan diadakan
  • Pentadbiran kerajaan, perkhidmatan awam tak terganggu
  • Darurat bukan rampasan kuasa tentera
  • Kronologi darurat di Malaysia
  • Agong ambil kira pandangan Raja-Raja Melayu
  • Agong perkenan darurat sehingga 1 Ogos 2021
  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: January 12, 2021 @ 1:45pm
    d