bisnes

Imbangi impak PKP

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat berkemungkinan menjejaskan pendapatan negara dan meningkatkan kadar pengangguran.

   Profesor Madya di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi (SPE), Universiti Putra Malaysia,  Prof Madya Dr Saifuzzaman Ibrahim berkata, PKP dijangka mampu membantu mengawal penularan Covid-19, namun mempunyai kesan negatif ketara terhadap ekonomi.

   Katanya, setiap keputusan berhubung pelaksanaan PKP mempunyai kesan berlawanan antara kesihatan dan ekonomi.

   "Oleh sebab itu, keputusan berkaitan PKP perlu mampu mengimbangi kesan ke atas kedua-dua aspek terbabit.

   "Pelaksanaan PKP (dengan SOP) lebih ketat menyaksikan banyak sektor ekonomi memberhentikan operasi sehingga penularan Covid-19 dapat dikawal," katanya.

   Berdasarkan laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), sektor perkilangan dan sektor pembinaan adalah antara sektor yang menjadi penyumbang utama kes baharu Covid-19, kebelakangan ini.

  Dr Saifuzzaman berkata, keadaan ini menyebabkan banyak desakan daripada rakyat supaya kerajaan dapat melaksanakan PKP dengan SOP lebih ketat dan memberhentikan operasi sektor perkilangan dan sektor pembinaan sehingga kes Covid-19 dapat dibendung.

   "Walaupun tindakan ini mampu mengawal pandemik Covid-19, ia juga pasti mengakibatkan operasi perniagaan dan pendapatan syarikat terjejas.

  "Sekiranya perkara terbabit berterusan, ia boleh mengakibatkan pemberhentian pekerja dan penutupan operasi syarikat sekiranya mereka tidak mampu bertahan," katanya.

  Dr Saifuzzaman berkata, antara langkah yang boleh diambil kerajaan untuk mengawal pandemik Covid-19 tanpa mengetatkan lagi SOP PKP adalah melalui penguatkuasaan SOP sedia ada dengan lebih tegas.

   Beliau berkata, kebenaran syarikat beroperasi perlu diiringi kepatuhan syarikat terbabit terhadap SOP sedia ada.

   "Walaupun penguatkuasaan SOP adalah penting dalam mengawal pandemik Covid-19, kesedaran dan rasa tanggungjawab setiap individu iaitu rakyat, ahli politik, pihak berkuasa dan pemerintah serta setiap syarikat dan firma perlu demi memastikan matlamat untuk mengekang penularan jangkitan dapat dicapai.

  "Peningkatan kes baharu Covid-19 baru-baru ini bukan tanda kegagalan (PKP), tetapi lebih kepada isyarat untuk menukar strategi lain yang dijangka lebih berkesan." katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: February 8, 2021 @ 7:15am
    d