bisnes

Foodpanda cipta peluang kerja

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Foodpanda Malaysia terus komited menjadi platform utama dalam mencipta peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia bagi mengharungi pasca Covid-19.

Pengarah Urusannya, Sayantan Das berkata, pandemik Covid-19 sememangnya memberi impak besar terhadap ekonomi dan sektor pekerjaan Malaysia secara umum.

Katanya, hampir 100,000 rakyat Malaysia kehilangan pekerjaan tahun lalu.

"Dari segi penghantar (rider), kami sentiasa menitikberatkan misi kami untuk memberi peluang pekerjaan kepada seramai mungkin rakyat Malaysia.

"Bukan membabitkan rider sahaja kerana tahun lalu kami berjaya membantu lebih ramai rakyat Malaysia yang kehilangan kerja sama ada sebagai rider, foodpanda walker atau menyertai ahli pengurusan kami.

"Kami berjaya merangka 80 jawatan baharu di pejabat kami di seluruh Malaysia, sekali gus membantu kami melantik lebih daripada 200 pekerja baru," katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, pangkalan rider foodpanda juga meningkat sebanyak 169 peratus iaitu dari 13,000 rider pada Januari 2020 hingga ke 35,000 rider akhir tahun lalu.

Sayantan berkata, pihaknya juga memperkenalkan foodpanda Walker iaitu pilihan baru untuk mereka yang tidak menggunakan motosikal.

"Ini pilihan pekerjaan yang paling senang untuk sesiapa saja menyertainya.

"Bagi golongan muda Malaysia yang mungkin belum mempunyai lesen atau kenderaan, sekarang mereka juga mempunyai pilihan untuk mencari rezeki.

"Setakat akhir 2020, kami mempunyai lebih kurang 2,500 foodpanda walker di 11 negeri.

"Bagi segmen ini, kami merancang untuk memperluas usaha kami supaya dapat memberi peluang pekerjaan kepada lebih ramai lagi rakyat Malaysia," katanya.

Selain itu, beliau berkata sehingga Disember 2020, foodpanda mempunyai lebih 60,000 vendor di seluruh platformnya.

"Kami akan terus meningkatkan usaha perkembangan tahun ini dengan harapan untuk memberi lebih banyak peluang kepada usahawan khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menjadi vendor," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: May 22, 2021 @ 8:46am
    d