bisnes

653 mohon Penjana

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Kerajaan sudah memperuntukkan sebanyak RM1 bilion kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta usahawan mikro yang terkesan dengan pandemik Covid-19.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, setakat 7 Mei, menerusi pembiayaan sektor pelancongan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) sahaja, terdapat 653 permohonan direkodkan.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, 325 permohonan diluluskan dengan jumlah pembiayaan RM64.6 juta.

Katanya, kementerian memahami keadaan pandemik yang masih mencabar mengehadkan peniaga memohon daripada dana ini.

"Kerajaan berharap apabila keadaan kembali pulih, penggiat industri pelancongan mempunyai dana sedia ada untuk diguna pakai bagi mengembangkan perniagaan masing-masing bagi memanfaatkan gelombang pemulihan ekonomi serantau.

"Selain itu, kerajaan juga sudah meluluskan permohonan subsidi upah bernilai RM12.888 bilion di bawah Program Subsidi Upah 1.0 (PSU 1.0) setakat 7 Mei 2021 dan seramai 322,177 majikan dan 2.64 juta pekerja menerima manfaat," katanya.

Beliau berkata demikian dalam laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (Laksana) Ke-53, yang dikeluarkan kelmarin.

Tengku Zafrul berkata, bagi menyokong sektor pelancongan sehingga 30 Jun, nilai pengecualian cukai yang dimanfaatkan oleh pengendali premis penginapan sudah mencecah RM2.333 bilion setakat 7 Mei, iaitu peningkatan sebanyak RM962.7 juta berbanding RM1.37 bilion yang direkodkan pada 29 Januari 2021.

Antara inisiatif lain bagi menyokong sektor pelancongan termasuk pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM1,000 ke atas perbelanjaan melancong serta pengecualian cukai pelancongan sepenuhnya.

Sementara itu, kerajaan sudah menyalurkan sebanyak RM717.04 juta bagi elaun khas barisan hadapan kepada hampir dua juta tuntutan dibuat oleh doktor, jururawat dan kakitangan perubatan lain yang terbabit dalam pengurusan serta pembendungan Covid-19.

Beliau berkata, elaun khas itu turut diberikan kepada anggota Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

"Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia serta Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) yang terbabit dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: May 22, 2021 @ 9:02am
    d