bisnes

Harga emas kekal kukuh

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Harga emas dijangka akan terus meningkat biarpun dunia sedang berdepan dengan pandemik Covid-19.

Pengurus Besar Kanan Habib Jewels Sdn Bhd, Mohd Zaruddin Mahmud berkata, harga emas dipengaruhi beberapa faktor antaranya kestabilan ekonomi dan politik dunia.

Katanya, pada Rabu harga emas meningkat kepada 10 peratus menjadikan kenaikan RM10 setiap gram kepada RM295 (emas 999) dan RM280 (emas 916).

"Ketika pandemik ini, harga emas turun naik dan menjadi terlalu sensitif dengan pergerakan pasaran.

"Namun dengan adanya vaksin dan pemulihan ekonomi mula berjalan, harga emas akan tetap naik namun tidak secara mendadak seperti yang pernah berlaku pada Julai tahun lalu.

"Di mana harga emas pernah mencecah sehingga AS$2067 satu auns. Bagaimanapun untuk mencecah paras harga tertinggi ini kebarangkalian itu ada.

"Tetapi penganalisis berpendapat dalam jangka panjang, harga emas tidak akan turun kerana mengambil perbandingan 30 tahun lalu harga hanya RM35 segram dan sekarang sudah mencecah RM290 segram," katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, walaupun harga emas meningkat, pihaknya mendapati trend membeli emas sebagai perhiasan dan pelaburan masih menjadi pilihan masyarakat Malaysia.

Mohd Zaruddin berkata, membeli emas pada masa kini sudah menjadi keperluan dan bukan lagi kehendak kerana ia adalah aset fizikal.

"Dari segi kewangan, emas ini boleh dicairkan dalam masa yang singkat.

"Oleh itu, untuk pelanggan di luar sana yang mana tidak mahu membeli emas ketika harga tinggi, ini adalah masa yang sesuai untuk menjual terutama bagi mereka yang memerlukan tunai.

"Di semua cawangan Habib Jewels, kami mempunyai Ar Rahnu Express dan kami turut menyaksikan peningkatan 25 peratus dalam transaksi jual dan gadai emas yang mana menggambarkan mereka memang memerlukan tunai buat masa ini," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: May 29, 2021 @ 7:00am
    d