global

Anthony Bourdain menang Emmy

Oleh Reuters

CHEF selebriti Amerika Syarikat, Anthony Bourdain, yang membunuh diri Jun lalu pada usia 61 tahun, memperoleh Anugerah Emmy kelima selepas kematiannya bagi rancangan makanan dan melancong popular terbitan CNN yang dihoskan beliau, ‘Parts Unknown.’

Bourdain dianugerahkan Emmy, penghormatan tertinggi industri, bagi penulisan cemerlang program bukan fiksyen untuk episod siri di selatan Itali yang disiarkan November lalu pada musim ke-10 rancangan berkenaan.

Anugerah itu diumumkan pada malam kedua Seni Kreatif Emmy, yang meliputi kategori pertengahan dan teknikal dan diberikan terlebih dahulu menjelang anugerah utama pada 17 September ini.

Bourdain, sebelum ini menang anugerah Emmy empat tahun berturut-turut, dari 2013 hingga 2016, sebagai penerbit dan hos ‘Part Unknown’ dalam kategori siri maklumat cemerlang atau khas.

Siri berkenaan, yang memaparkan Bourdain menikmati hidangan tempatan dan budaya destinasi seluruh dunia, membolehkan beliau menerima Anugerah Peabody berprestij pada 2014.

Bourdain turut menerima beberapa pencalonan Emmy sebagai hos pertandingan realiti berasaskan masakan di saluran ABC, ‘The Taste’ dan menang Seni Kreatif Emmy bagi sinematografi terbaik dalam program bukan fiksyen bagi satu lagi rancangan melancong dan makanan ‘No Reservations.’

Bourdain, yang memulakan kerjayanya sebagai pencuci pinggan di restoran di New York dan meningkat naik menjadi salah seorang chef televisyen terkenal dunia, pernah berkongsi hidangan di Vietnam bersama bekas Presiden Barack Obama, meninggal dunia 8 Jun lalu.

Beliau ditemui tergantung dalam bilik hotelnya di Strasbourg, Perancis, lokasi beliau menjalani rakaman episod rancangannya musim ke-11.

Berita berkaitan:

Tiada tanda penggunaan dadah

Masin mulut Bourdain

Tiada lagi celoteh Bourdain

Disiarkan pada: September 10, 2018 @ 10:30am
d