global

Usung dalam tiub plastik

Oleh Agensi

Beijing: Satu rakaman video menunjukkan seorang pesakit yang dipercayai dijangkiti koronavirus diletakkan di dalam tiub plastik.

Daily Mirror melaporkan ia dipercayai dirakam di sebuah hospital di Huizhou, di wilayah Guangdong di selatan China.

Berdasarkan rakaman itu, pesakit terbabit yang diliputi tiub plastik dan diusung dari ambulans untuk dibawa masuk ke hospital berkenaan.

Ia dikatakan bagi mengelak penularan wabak virus berkenaan yang kini meragut 17 nyawa.

Sementara itu, China meletakkan Wuhan, lokasi pertama wabak itu dikesan, dalam keadaan berjaga-jaga.

Ia selepas hampir 600 orang disahkan dijangkiti virus berkenaan.

Kerajaan juga mengingatkan rakyatnya supaya tidak meninggalkan wilayah berkenaan bagi menghalang wabak itu menular ke kawasan lain.

Dalam pada itu, pihak berkuasa penerbangan dan perkhidmatan kereta api mengumumkan pengangkutan keluar dari Wuhan digantung sementara, mulai semalam, manakala bas awam dan pengangkutan bawah tanah yang membabitkan perjalanan jauh dihentikan.

Keputusan itu dibuat ketika ratusan juta penduduk negara ini bakal melakukan perjalanan ke serata tempat sempena cuti Tahun Baharu Cina.

Jabatan kebudayaan dan pelancongan bandar itu juga membatalkan segala lawatan berkumpulan hingga 8 Februari depan selain hotel dan lokasi tumpuan pelancong perlu menangguhkan aktiviti berskala besar.

Pegawai bandar Wuhan juga meminta orang ramai supaya tidak berkunjung ke wilayah itu malah upacara sembahyang di Tokong Guiyuan sempena Tahun Baharu Cina turut dibatalkan.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Disiarkan pada: January 24, 2020 @ 8:01am
    d