global

Tidak keluar rumah takut koronavirus

Oleh Agensi

GURU warganegara Britain diselubungi ketakutan selepas terperangkap di Wuhan ketika wabak koronavirus semakin menular.

Daily Mail melaporkan, Kharn Lambert bimbang untuk meninggalkan rumahnya kerana tidak mahu menjadi mangsa terbaharu virus yang sudah mengorbankan 26 nyawa.

Katanya, sebelum ini lorong di belakang kediamannya di bandar itu meriah dengan pelbagai restoran dibuka sehingga jam 2 pagi, namun kini kawasan berkenaan 'mati'.

“Kawasan berkenaan sebelum ini meriah dengan kehadiran mereka yang sudah berkeluarga untuk bersantai dan makan bersama, namun kini tiada lagi,” katanya.

Sejak malam semalam, China sudah meletakkan enam bandar dalam keadaan berwaspada ekoran penularan wabak koronavirus selain pengangkutan udara keluar dan masuk ke Wuhan digantung.

Bukan itu saja, pihak berkuasa juga menggantung perkhidmatan pengangkutan darat dengan dianggarkan 20 juta rakyat negara itu terjejas

Penularan wabak berkenaan mencetuskan panik dalam kalangan rakyat selepas khabar angin tersebar bahawa katil dan ubat di hospital tempatan tidak mencukupi untuk menampung mereka yang mahu mendapatkan rawatan.

Ia juga membantutkan persiapan menyambut Tahun Baru Cina selain, jangkaan lebih banyak jangkitan virus kerana penduduk pulang menyambut perayaan.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Disiarkan pada: January 24, 2020 @ 3:29pm
    d