global

Tinggalkan anak demam di lapangan terbang

Oleh Agensi

Nanjing: SUAMI isteri tergamak meninggalkan dua anak mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Nanjing Lukou selepas kanak-kanak itu tidak dibenarkan menaiki pesawat kerana demam.

Oriental Daily melaporkan, pasangan berkenaan bersama dua anak mereka ke lapangan terbang pada Khamis lalu untuk berlepas ke kampung mereka di Changsha sempena sambutan Tahun Baru Cina.

Pemeriksaan kesihatan di lapangan terbang semakin diperketatkan susulan penularan wabak koronavirus di Wuhan sejak beberapa hari lalu.

Ketika melalui kawasan pelepasan, keluarga itu ditahan pegawai imigresen kerana mengesan anak pasangan itu mengalami demam dan tidak dibenarkan menaiki pesawat.

Suami isteri itu bagaimanapun bertegas mahu dua anak mereka dibenarkan untuk menaiki pesawat sehingga menyebabkan kelewatan selama tiga jam kepada penumpang lain.

Insiden itu dikongsi warganet menerusi aplikasi Weibo dan disaksikan sendiri perakam video berkenaan sebelum tular di laman sosial lain.

Selepas gagal meyakinkan pegawai berkenaan, pasangan itu mengambil keputusan 'drastik' dan tergamak meninggalkan kanak-kanak itu sebelum mereka terus menaiki pesawat.

Kejadian itu mengundang kritikan ramai dan kanak-kanak itu terpaksa dijaga oleh kakitangan lapangan terbang untuk tindakan selanjutnya.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Disiarkan pada: January 24, 2020 @ 3:41pm
    d