global

Bentuk hospital sementara empat hari

Oleh Agensi

MENAKJUBKAN apabila hospital sementara yang dijangka menempatkan 1,000 katil pesakit koronavirus baharu sudah kelihatan dengan bentuknya hampir siap.

Ia hanya mengambil masa empat hari untuk menampakkan bentuk bangunan berkenaan selepas projek pembinaan di daerah Caidian, dimulakan.

Daily Mail melaporkan ia berdasarkan rakaman video yang menunjukkan perkembangan fasiliti kesihatan dikenali sebagai Huoshenshan atau Hospital Gunung Tuhan Api.

Sebelum ini, pihak berkuasa mengarahkan empat syarikat pembinaan untuk membina hospital berkenaan di atas tapak seluas enam ekar (kira-kira dua hektar).

Projek pembinaan bermula ketika musim perayaan Tahun Baharu Cina dan hospital itu dijangka menerima pesakit pertama pada 3 Februari ini.

Kerajaan China dilaporkan akan membina sekurang-kurangnya empat hospital sementara bagi menempatkan pesakit koronavirus baharu di negara itu.

Dua daripadanya dibina di Wuhan, bandar yang terjejas teruk akibat penularan wabak berkenaan.

Sementara dua lagi masing-masing dibina di Huanggang yang terletak berhampiran bandar ini dan Zhenzhou, di tengah wilayah Henan.

Imej dron yang disiarkan People’s Daily menunjukkan trak, jengkaut, jentolak dan lori beroperasi tanpa henti untuk membina hospital pertama jenis itu di Wuhan.

Berdasarkan laporan CCTV sebelum ini, hospital terbabit akan membabitkan beberapa bangunan sementara.

Bagaimanapun, pegawai kerajaan masih belum memutuskan sama ada untuk menggunakan komponen pasang siap untuk projek berkenaan.

Kaedah lain yang masih dipertimbangkan adalah membina wad yang diubah suai daripada kontena perkapalan.

Empat firma milik kerajaan dipertanggungjawabkan untuk membina kemudahan kecemasan dalam tempoh singkat berkenaan.

Ia dibina berdasarkan model hospital sementara di Beijing yang dibina dalam tempoh tujuh hari pada 2003 ketika penularan wabak Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS).

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Disiarkan pada: January 29, 2020 @ 1:24pm
    d