global

Koronavirus: Saintis beri amaran, 'Dettol' tiada bukti

Oleh Agensi

SAINTIS memberi amaran, tiada bukti menunjukkan produk semburan menyahjangkit, Dettol, berupaya membunuh virus koronavirus baharu (2019-nCoV), lapor Mail Online.

Di media sosial, tular satu rakaman gambar menunjukkan produk keluaran Dettol itu memaparkan label yang tertera pada bahagian belakang botol produk berkenaan mendakwa boleh ‘membunuh’ virus koronavirus.

Pakar Perlindungan Kesihatan dan Perubatan, Profesor Paul Hunter mengingatkan produk itu hanya berkesan untuk tujuan kebersihan.

Beliau menjelaskan, “Dettol mengandungi chloroxylenol, bahan menyahjangkit sedia ada yang digunakan secara meluas.

“Chloroxylenol aktif menentang pelbagai jenis virus dan bakteria, termasuk koronavirus.

“Namun, ia hanya digunakan untuk menyahjangkit bahagian permukaan, atau pada kulit dan luka. Chloroxylenol juga boleh digunakan pada sabun.”

“Sama ada ia menawarkan kelebihan terhadap aspek pembersihan, atau digunakan dengan sabun dan air, ia tidak jelas.”

Pakar virus genomics dari Imperial College London, Profesor Paul Kellam berkata, “Saya tidak fikir Dettol ada membuat ujian bagi aktiviti menentang virus 2019-nCoV (koronavirus baharu). Bagaimanapun, mereka mendakwa ia mampu membunuh pelbagai mikrob (bakteria dan virus).”

Ketua Bahagian Virology Institut Francis Crick, Dr Jonathan Stoye berkata, “Ia harus dijelaskan, virus Wuhan (koronavirus baharu) hanya satu daripada pelbagai jenis koronovirus manusia - yang lain hanya dikaitkan dengan selesema biasa.

“Kemungkinan, virus sejuk (dikaitkan koronavirus) diuji terhadap sensitiviti Dettol (bagaimanapun, ia tidak berupaya menyahjangkit koronavirus baharu).”

Sementara itu, Dettol yang juga sebahagian daripada syarikat Reckitt Benckiser (RB), dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menyedari spekulasi mengenai produk Dettol yang dikaitkan dengan koronavirus baharu itu.

“Memandangkan isu ini ditimbulkan terhadap RB, seperti semua pengilang, kami belum ada lagi akses terhadap virus baharu 2019-nCoV untuk ujian, oleh itu, kami tidak dapat untuk mengesahkan tahap keberkesanan (produk) terhadap penularan wabak itu.

“Walaupun 2019-nCoV adalah wabak baru, virus ini sangat mirip dengan koronavirus lain.

“Sebagai peneraju global dalam kesihatan dan kebersihan, kami akan terus memainkan peranan dalam memerangi wabak virus itu.

“Untuk ini, kami sudah menyumbangkan wang tunai dan produk bernilai £5.5 juta (RM29.7 juta) untuk membantu menggerakkan kakitangan perubatan merawat mereka yang terjejas akibat virus itu, selain menyediakan pembasuh sabun dan tangan ke hospital di Wuhan, China.”

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Disiarkan pada: February 1, 2020 @ 4:39pm
    d