global

Kahwin dalam kuarantin

Oleh Agensi

SINGAPURA: Satu pasangan di Singapura tetap meneruskan hasrat untuk meraikan tetamu dalam majlis perkahwinan mereka, biarpun ketika menjalani kuarantin akibat wabak koronavirus.

Bagaimanapun, berbeza dengan majlis perkahwinan lain, pasangan pengantin hanya melayan tetamu menerusi strim langsung (livestream) yang dipancarkan di layar besar di dalam dewan.

Media tempatan melaporkan pasangan itu terpaksa menjalani kuarantin 14 hari, sebaik pulang ke Singapura pada 30 Januari lalu selepas menyambut Tahun Baharu Cina di Hunan.

Memandangkan tempahan dewan sudah dibuat di sebuah hotel pada 2 Februari, pasangan itu dikenali Mr dan Mrs Yu memutuskan untuk meneruskan majlis resepsi mereka.

“Terima kasih kepada yang hadir perkahwinan kami. Kami minta maaf tidak dapat menyertai dan berkongsi saat gembira ini bersama anda di sana, tetapi kami gembira melihat kehadiran semua,” kata pengantin wanita yang memakai gaun labuh berwarna putih dari bilik hotel mereka.

Tetamu yang dijemput menghadiri majlis perkahwinan itu diumumkan mengenai ketiadaan pasangan pengantin berkenaan.

Berikutan ibu bapa pengantin juga pergi ke Hunan, mereka juga tidak dapat menghadiri majlis perkahwinan sama.

Hanya kakak pengantin perempuan dilihat berada di dewan untuk melayan tetamu.

Dalam pada itu, pengantin lelaki yang berusia 37 tahun memberitahu akhbar Shin Min Daily News, pihaknya menempah 19 meja untuk jamuan.

Bagaimanapun, hanya 11 meja dipenuhi tetamu.

Keluarga pengantin kemudian memberikan lebihan makanan kepada tetamu untuk dibawa pulang.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Disiarkan pada: February 7, 2020 @ 6:45am
    d