global

Penipu jualan topeng pembedahan dicekup

Oleh Agensi

Hong Kong: Polis Hong Kong memberi amaran kepada orang ramai untuk berhati-hati dengan penipu yang menjual topeng pembedahan atas talian selepas menerima aduan lebih 100 mangsa dengan jumlah kerugian HK$580,000 (RM309,051).

Dalam satu kenyataan, polis negara itu menahan enam lelaki dan dua wanita kerana melakukan penipuan dan percaya lebih banyak tangkapan akan dilakukan selepas itu.

“Sejak akhir Januari tahun ini, terdapat penipu menawarkan topeng pembedahan untuk dijual melalui platform beli-belah atas talian.

“Mereka mengambil kesempatan berikutan bekalan penutup hidung dan mulut itu terhad di sini (Hong Kong) akibat koronavirus,” katanya sambil menambah penipu kemudian menghilangkan diri selepas menerima bayaran pendahuluan .

Menurut kenyataan itu, polis menerima 109 laporan berkaitan dengan jumlah kerugian HK$580,000 sehingga 5 Februari.

Kesempatan diambil penipu berikutan penduduk Hong Kong kini panik mencari peralatan perlindungan selepas penularan wabak koronavirus.

Polis menggesa pembeli atas talian untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kredibiliti penjual sebelum melakukan transaksi.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Disiarkan pada: February 7, 2020 @ 12:00pm
    d