global

Peka jangkitan orang tiada sejarah ke China

Oleh AFP

PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran terhadap kemungkinan penyebaran koronavirus baharu (2019nCoV) daripada orang yang tiada sejarah ke China.

Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, terdapat kebimbangan terhadap penularan wabak cara itu yang disifatkan boleh menjadi masalah baharu kepada kes sedia ada.

Ketika ini koronavirus baharu sudah menjangkiti lebih 40,000 orang dan mengorbankan 908 orang di China, dengan WHO menghantar pakarnya untuk membantu menangani pandemik itu.

“Pengesanan kecil kes (jangkitan daripada orang tidak ke China) boleh jadi penularan luas ke negara lain dan kita mungkin melihat sebahagian kecil daripada masalah ini,” katanya dalam hantaran Twitter, semalam.

Ketika penularan virus di luar China dilihat perlahan, Ghebreyesus mengingatkan ia berkemungkinan menjadi lebih cepat selepas ini.

“Pembendungan kekal objektif kita (WHO), namun semua negara mesti menggunakan peluang daripada strategi pengekangan yang dilaksana untuk lebih bersedia apabila wabak menular ke negara masing-masing,” katanya.

WHO sebelum ini dilapor menilai wabak itu sebagai stabil dari segi jumlah kes baharu di China, namun agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) menyifatkan terlalu awal untuk mengatakan koronavirus sudah memuncak.

Terdapat lebih 350 jangkitan dilapor di hampir 30 kawasan di luar tanah besar China dan dua kematian berlaku di Filipina dan Hong Kong.

Beberapa negara juga sudah mengenakan sekatan terhadap kemasukan warga China selain syarikat penerbangan utama membatalkan penerbangan dari negara itu.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Disiarkan pada: February 10, 2020 @ 12:17pm
    d