global

Wuhan bandar sunyi

Oleh AFP

Wuhan: Sepanjang lapan hari pasukan AFP yang bertugas di Wuhan, Hubei, menyaksikan bandar ketujuh terbesar di China yang dihuni 11 juta orang, tiba-tiba sepi.

Ia apabila aktiviti penduduknya terhenti selepas tercetusnya wabak koronavirus baharu dipercayai dari sebuah pasar di sini.

Sehingga pagi semalam, wabak itu mengorbankan 910 di China.

Ia bermula selepas penduduk terputus hubungan berikutan sekatan pergerakan masuk dan keluar ke bandar itu.

Pada awal pagi 23 Januari lalu, pihak berkuasa mengumumkan bahawa semua pengangkutan udara, darat dan kereta api digantung operasinya.

Pengumuman berkenaan mengejutkan penduduknya ketika orang ramai pulang ke kampung di seluruh China untuk sambutan Tahun Baharu Cina.

Lebuh raya dikawal ketat oleh pasukan keselamatan, sementara penduduk pula mengurung diri di dalam kediaman.

Pengumuman berkenaan mengejutkan penduduknya ketika orang ramai pulang ke kampung di seluruh China untuk sambutan Tahun Baharu Cina.

Kebanyakan daripada mereka tidak sempat untuk keluar dari Wuhan apabila perintah sekatan pergerakan itu dikuatkuasakan pada jam 10 pagi.

Polis dilihat mengarahkan orang awam keluar dari stesen kereta api, manakala lapangan terbang pula sepi.

Ia menyebabkan ada individu yang terkandas tanpa arah tuju selepas semua penerbangan keluar dan masuk dibatalkan.

Beberapa jam sebelum ambang Tahun Baharu Cina, bandar itu menjadi sunyi sehinggakan tiada kelibat pasukan keselamatan.

Sambutan perayaan pula hambar apabila ramai yang berkunjung ke farmasi untuk mendapatkan penutup mulut dan hidung.

Farmasi pula menetapkan setiap pelanggan hanya boleh membeli dua kotak ubat cegah demam.

Dalam pada itu, wakil AFP yang berada di hospital menyaksikan ramai yang beratur panjang untuk menunggu giliran bagi berjumpa doktor.

Di luar bandar pula, kontraktor bertungkus-lumus membina hospital sementara bagi menempatkan 1,000 katil bagi pesakit virus itu.

Selepas lima hari perintah sekatan pergerakan, kerajaan asing mula melaksanakan proses evakuasi rakyat mereka.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Disiarkan pada: February 12, 2020 @ 7:01am
    d