global

174 orang positif 'COVID-19'

Oleh AFP

Tokyo: Seramai 39 lagi penumpang kapal persiaran Diamond Princess yang kini dikuarantin di perairan Jepun, disahkan positif koronavirus baharu atau ’COVID-19’.

Menteri Kesihatan Jepun berkata, ia menjadikan 174 penumpang kapal sama disahkan positif wabak berkenaan.

“Daripada 53 orang yang baru menjalani saringan, 39 disahkan positif,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini, empat orang yang sudah dimasukkan ke hospital dalam keadaan serius sama ada menggunakan alat bantuan pernafasan atau di dalam unit rawatan rapi (ICU).

Diamond Princess, sebelum ini, dikuarantin dan semua penumpangnya tidak dibenarkan mendarat sebaik tiba di perairan Jepun, sejak minggu lalu.

Ia selepas seorang bekas penumpangnya yang sebelum ini mendarat di Hong Kong, disahkan positif ’COVID-19’.

Mereka yang dikuarantin diminta tinggal di dalam kabin masing-masing dan dibenarkan untuk keluar untuk tempoh pendek ke dek.

Ada 3,711 orang di dalam kapal berkenaan.

Semuanya diarahkan untuk memakai penutup mulut dan hidung dan tidak mendekati satu sama lain.

Selain itu, saringan suhu badan juga sentiasa dijalankan terhadap penumpang dan anak kapal.

Kapal itu dijangka dikuarantin sehingga 19 Februari.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Disiarkan pada: February 12, 2020 @ 9:09am
    d