global

Covid-19: Indonesia jawab kritikan

Oleh Agensi

Jakarta: Indonesia mengkritik kajian Amerika Syarikat yang mempertikaikan mengapa negara keempat memiliki penduduk terbanyak itu tidak merekodkan sebarang kes koronavirus baharu, setakat ini.

Lapor The Jakarta Post, Indonesia menyifatkan hasil penemuan terbabit sebagai penghinaan melampau.

Menteri Kesihatan Indonesia, Terawan Agus Putranto menganggap laporan Universiti Harvard itu sebagai satu penghinaan sambil memaklumkan negara itu sudah menjalankan pengujian dengan dilengkapi peralatan.

“Mereka boleh mengelirukan tetapi tiada kes. Ini adalah fakta.

“Harapnya semoga tiada sebarang kes dan kita teruskan berdoa tetapi kita tetap dalam keadaan berwaspada pada tahap tertinggi,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Katanya, kerajaan sudah menjalankan ujian ke atas 12 suspek kes yang disyaki, namun tiada yang positif.

“Kita tidak menyembunyikan apa-apa.

“Apa yang penting, kami mengikuti piawaian antarabangsa,” katanya.

Kajian kesihatan awam dari Universiti Harvard minggu ini menyimpulkan Indonesia seharusnya melaporkan wabak koronavirus baharu atau dikenali sebagai Covid-19.

Ia turut mempersoalkan ketiadaan kes dilaporkan di negara itu sedangkan ada hubungan pengangkutan udara yang meluas antara Indonesia dan China, termasuk Wuhan yang menjadi lokasi tercetusnya wabak berkenaan.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Disiarkan pada: February 12, 2020 @ 4:58pm
    d