global

Bapa dipecat selepas anak 'meriak'

Oleh Agensi

BEIJING: Seorang pegawai kerajaan China dipecat selepas anaknya ‘meriak’ di media sosial mengenai kedudukan bapanya yang membolehkannya melepasi kawalan ketat di Hubei.

Beberapa bandar dan jalan di wilayah ini ditutup untuk mengekang penularan wabak Covid-19.

Namun, remaja berkenaan yang dikenali sebagai He Hao, memaklumkan bapanya mengatur kenderaan untuk mengambilnya dari bandar Tianman ke Jingzhou.

South China Morning Post melaporkan, berdasarkan kenyataan pihak kerajaan, bapa remaja berkenaan, He Yanfang adalah Pengarah Pasaran Bahagian Perdagangan Jingzhou.

Sebelum itu, He Hao dipercayai membuat hantaran video yang menunjukkan kereta yang dinaikinya melepasi laluan tol di Tianmen walaupun terdapat papan tanda ‘larangan kenderaan’.

Dia menulis: “Saya tidak menyangka bapa saya memiliki kuasa. Dia sudah lama menjadi pegawai kerajaan dan saya tidak pernah mendapat apa-apa manfaat daripada kedudukannya itu, sehinggalah hari ini.

“Apabila semua laluan di wilayah ini ditutup, bapa menggunakan kedudukannya dan menghantar kenderaan untuk mengambil saya.”

Hantaran itu mencetuskan kemarahan orang awam kerana ia disifatkan sebagai penyalahgunaan kuasa.

Seorang pengguna menulis komen: “Kami membaca kisah seorang jururawat terpaksa mengayuh basikal selama empat hari untuk kembali ke Wuhan, tapi budak ini tanpa rasa bersalah menceritakan salah guna kuasa bapanya.”

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: February 15, 2020 @ 7:15pm
    d