global

Thailand tak bagi masuk!

Oleh Agensi

BANGKOK: Thailand menyekat kemasukan penumpang kapal persiaran MS Westerdam yang bukan warga negaranya, berkuat kuasa hari ini.

South China Morning Post melaporkan, sekatan itu adalah langkah susulan yang diambil selepas Malaysia mengesahkan wanita yang juga bekas penumpang kapal itu positif kororonavirus baharu (Covid-19).

Langkah itu juga diambil berikutan pertambahan satu lagi individu dijangkiti wabak berkenaan yang menjadikan 35 kes dilaporkan di Thailand, setakat hari ini.

“Kes terbaru itu membabitkan seorang warga China berumur 60 tahun yang ada kaitan dengan sembilan ahli keluarga lain yang kesemuanya kini dijangkiti wabak berkenaan,” kata Setiausaha Kementerian Kesihatan Thailand, Sukhum Kanchanapimai.
Difahamkan, terdapat 21 penumpang warga negara Thailand di dalam kapal persiaran MS Westerdam itu.

Pihak berkuasa kesihatan Thailand mengesahkan kesemua mereka dikuarantin selepas memasuki negara berkenaan.

Media sebelum ini melaporkan bahawa semua penumpang kapal berkenaan dibenarkan mendarat selepas pemeriksaan rambang mendapati mereka negatif (Covid-19).

Bagaimanapun, seorang daripadanya kemudian disahkan positif selepas tiba dci Malaysia dengan penerbangan sewa khas.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: February 17, 2020 @ 6:08pm
    d