global

China haramkan perdagangan hidupan liar

Oleh Reuters

BEIJING: China mengharamkan perdagangan dan penggunaan haiwan liar sebagai usaha untuk membendung penularan wabak koronavirus baharu (Covid-19).

Reuters yang memetik laporan Agensi Berita Xinhua melaporkan, tindakan itu susulan penggantungan perdagangan hidupan liar, sejak bulan lalu.

Dengan keputusan itu, mana-mana individu terbabit dalam pemburuan, penggunaan dan perdagangan hidupan liar berdepan hukuman berat.

“Terdapat kegusaran dalam kalangan orang ramai terhadap haiwan liar dan bahayanya dan ia bermula sejak tercetusnya Covid-19.

“Justeru, langkah sewajarnya perlu diambil dalam tempoh kritikal ini untuk mengawal dan mencegah wabak berkenaan,” kata jurucakap Pesuruhjaya Perhubungan Badan Perundangan, Zhang Tiewei.

Terdahulu, jangkitan Covid-19 didakwa berpunca daripada aktiviti jualan kelawar, ular dan beberapa lagi haiwan liar lain di sebuah pasar Wuhan di wilayah Hubei.

Bagaimanapun, saintis mengesyaki tiada bukti menunjukkan wabak itu boleh tersebar kepada manusia melalui haiwan.

Sehingga semalam, Suruhanjaya Kesihatan China mengesahkan 150 lagi kes kematian di China akibat wabak Covid-19.

Ia menjadikan keseluruhan kematian akibat wabak berkenaan di republik itu kepada 2,592 mangsa.

Sementara itu, sebanyak 409 kes jangkitan terbaru direkodkan dengan kebanyakannya datang dari wilayah Hubei.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: February 25, 2020 @ 1:14pm
    d