global

Tidur pun buat duit

Oleh Agensi

SEORANG pelakon amatur di China menjadi popular selepas video tidurnya menerusi penstriman secara langsung di platform Douyin, menjadi tular.

Pada awalnya, Yuansan dari Jiangxi dikatakan melakukan penstriman itu bagi mengetahui sama ada dia benar-benar berdengkur.

Bagaimanapun, selepas bangun tidur, lelaki itu terkejut apabila mendapati video selama kira-kira lima jam itu ditonton lebih 100,000 kali.

Malah, video berkenaan tular menyebabkan salurannya merekodkan 800,000 pengikut baharu.

Yuansan kemudian mengulangi tindakan sama sehingga salurannya merekodkan 18.5 juta tontonan dan diikuti hampir satu juta orang.

Populariti video berkenaan turut menyebabkan lelaki itu menjana pendapatan apabila pengguna memberinya tip dalam talian berjumlah 76,000 yuan (RM45,844).

Oddity Central melaporkan fenomena itu berikutan ramai ingin tahu apa yang dilakukan lelaki berkenaan ketika dia tidur.

Ada juga berpendapat video itu tular selepas banyak penduduk di China berasa bosan kerana terpaksa berkurung di dalam rumah.

Ia selepas banyak bandar di negara berkenaan masih dikenakan sekatan pergerakan masuk dan keluar akibat ancaman Covid-19.

Yuansan berkata, dia pernah cuba beberapa kali memuat naik kandungan lain di salurannya, tetapi tidak mendapat sambutan.

“Saya hanya bosan dan melakukan live streaming ketika tidur. Tetapi, saya rasa sebenarnya pengguna Internet yang lebih bosan daripada saya,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: February 27, 2020 @ 6:01am
    d