global

Tayangan filem James Bond ditangguh

Oleh Agensi

TAYANGAN filem terbaharu James Bond ditangguhkan, tiada penganjuran festival filem dan produksi blockbuster ditutup.

Hollywood kini tergugat dengan ancaman yang tidak pernah berlaku sebelum ini berikutan wabak Covid-19, kata orang dalam industri itu kepada AFP.

“Saya tidak pernah melihat keadaan ini yang mana banyak filem terjejas sekali gus.

“Memang terdapat kejadian terpencil atau tragedi yang memberi kesan kepada industri perfileman sebelum ini, tetapi apa yang berlaku sekarang menjangkiti seluruh industri dari atas ke bawah,” kata Jeff Bock, seorang penganalisis kanan di Exhibitor Relations Co.

Anggaran kerugian daripada panggung Asia, tahun ini sudahpun mencecah AS$ 2 bilion (RM4.18 bilion).

Filem terbesar Hollywood termasuk Mulan - filem aksi hidup milik Walt Disney telah ditangguhkan tayangannya di China.

Kelewatan tayangan 007 No Time To Die di seluruh dunia termasuk di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah, menyoroti kesan tanpa sempadan virus itu.

Buat masa ini, panggung AS masih stabil meskipun terdapat kebimbangan penularan wabak Covid-19, manakala Mulan masih kekal untuk dilancarkan bulan ini di Amerika Utara.

Bagaimanapun, wabak itu yang menular di California dan New York serta beberapa kematian di Washington mungkin beri impak.

“Kita akan melihat sedikit kemelesetan minggu ini. Apabila Mulan keluar (tayangan), jika kesannya sebesar apa yang berlaku di China, maka ia akan mengubah keseluruhan landskap,” kata Bock.

Sementara itu, pembeli seperti Netflix, Amazon dan Apple telah menarik diri daripada menyertai festival SXSW di Texas - pasaran penting untuk filem, difahamkan kerana wabak ini.

Setakat ini lebih 50,000 orang menandatangani petisyen dalam talian mendesak SXSW dibatalkan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 7, 2020 @ 6:01am
    d