global

Meninggal dunia selang dua jam

Oleh Agensi

Milan: Impian suami isteri di Itali untuk sehidup semati termakbul apabila meninggal dunia selang dua jam, Selasa lalu.

Memetik portal Daily Mail, Severa Belotti, 82, dan Luigi Carrara, 86, yang hidup bersama selama 60 tahun maut akibat Covid-19.

Pasangan warga emas itu menghabiskan sisa terakhir hayat bersama di kediaman mereka di Albino wilayah Bergamo utara Itali.

Dakwa anak lelaki mereka, Luca Carrara, ibu bapanya dikuarantin lapan hari tanpa bantuan perubatan dan mengalami demam panas dengan suhu 39 darjah Celsius.

Dia yang mendedahkan perkara itu kepada akhbar tempatan berkata, bapanya dibawa ke Hospital Bergamo pada Sabtu lalu, manakala ibunya keesokan harinya.

Katanya, seorang meninggal dunia pada 9.15 pagi dan seorang lagi 11 pagi.

“Saya terkilan tidak sempat berjumpa mereka sebelum mereka mati,” katanya.

Luca berkata, ibu bapanya terperangkap dalam tempoh lama kerana tiada pakar perubatan berhampiran akibat sekatan pergerakan keluar masuk dikenakan kerajaan.

Lelaki itu yang bekerja di sebuah syarikat utiliti air di Bergamo kini, sedang dikuarantin bersama isteri dan dua anaknya.

Sehingga kini, Itali merekodkan 12,462 kes jangkitan Covid-19 dengan 827 orang maut akibat wabak itu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 13, 2020 @ 4:52pm
    d