global

Program ulang tahun serangan masjid dibatalkan

Oleh AFP

Wellington: New Zealand membatalkan program memperingati ulang tahun pertama serangan masjid di Chirstchurch, berikutan kebimbangan terhadap penularan wabak koronavirus, kata Perdana Menterinya Jacinda Ardern.

“Ini adalah keputusan pragmatik. Kami sangat sedih untuk membatalkannya, tetapi dalam mengingati tragedi yang dahsyat itu, kita tidak seharusnya mencetuskan lebih banyak risiko,” kata Ardern, hari ini.

Program itu dijangka menghimpunkan ribuan orang termasuk pelancong dari luar negara, khusus untuk memperingati serangan pada 15 Mac 2019 oleh suspek radikal kulit putih yang melakukan tembakan rambang di dua masjid ketika solat Jumaat.

Tragedi berkenaan menyebabkan 51 orang meninggal dunia.

Ardern berkata, New Zealand perlu mengambil pendekatan berjaga-jaga, mengekang penularan wabak.

New Zealand merekodkan enam kes positif koronavirus setakat ini.

“Nasihat yang kami terima untuk majlis ini adalah berdasarkan kepada rakyat dari seluruh pelusuk daerah dan pelancong dari luar negara, yang mana jika ada kes (koronavirus), ia akan menyukarkan kami untuk mengesan kontak dengan pesakit.

“Jadi kerajaan perlu mengambil pendekatan dan langkah berjaga-jaga,” katanya.

Kini, 15 Mac akan sentiasa menjadi tarikh istimewa yang memberi peluang kepada rakyat New Zealand mengenang tragedi dengan cara mereka sendiri.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 14, 2020 @ 9:47am
    d