global

Vaksin Covid-19 hampir ditemui

Oleh Agensi

Washington: Ujian klinikal pertama ke atas manusia untuk mencari penawar Covid-19 dilancarkan dalam beberapa hari dan paling lewat Jun depan.

Proses berkenaan dipercepat melalui konsep hack genetic dan berjaya melewati peringkat ujian haiwan serta diuji pada sukarelawan sihat.

Dailymail melaporkan saintis di Britain mengatakan vaksin berkenaan sudah siap dan boleh diuji pada manusia menjelang Jun selepas memperoleh keputusan menggalakkan pada tikus.

Moderna yang berpangkalan di Massachusetts mencipta kaedah baru apabila menghubungkan RNA bagi merangsang sistem kekebalan tubuh untuk menghasilkan protein sama untuk membunuh virus yang dapat mencegahnya.

Covid-19 kini membunuh hampir 5,000 mangsa di seluruh dunia dan setakat ini tiada ubat dapat menyembuhkan atau mencegah.

Prototaip vaksin dibiayai Gabungan Inovasi Kesediaan Epidemik yang juga pengasasnya Dr Melanie Saville memberitahu Telegraph, ketika ini mencari penawar lebih berkesan untuk Covid-19 dan tidak perlu membuang masa membangunkan vaksin.

“Kami tidak tahu bagaimana pandemik ini berkembang berikutan ia datang dalam pelbagai gelombang berbeza,” katanya.

Penyelidik mengandaikan Mei adalah kemuncak Covid-19 berlaku.

Sementara itu, AFP melaporkan Amerika Syarikat (AS) dan Jerman bersaing mengeluarkan vaksin eksklusif melawan Covid-19 yang dibangunkan di sebuah makmal Jerman, lapor akhbar harian Die Welt.

Menurut laporan itu, Presiden Donald Trump didakwa berusaha ‘memancing’ saintis Jerman yang menghasilkan vaksin percubaan terbabit dan ia dilihat bertujuan mendapatkan lesen eksklusif di AS.

Sumber rapat dengan kerajaan Jerman memberitahu Die Welt vaksin terbabit ‘hanya untuk AS’, walaupun Berlin dilaporkan membuat tawaran sendiri kepada firma bioteknologi, CureVac yang berpangkalan di Thuringia.

Syarikat ditubuhkan pada 2000 itu memiliki tapak lain di Frankfurt dan Boston. Firma berkenaan dipasarkan sebagai pakar dalam ‘membangunkan rawatan terhadap kanser, terapi berasaskan antibodi, rawatan penyakit jarang berlaku serta vaksin profilaktik’.

Ketika ini, makmal terbabit bekerjasama dengan Institut Paul-Ehrlich yang berkait dengan Kementerian Kesihatan Jerman dan berkepakaran dalam penyelidikan vaksin.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 16, 2020 @ 7:58am
    d