global

Brunei catat kes baharu selepas lima hari

Oleh Agensi

Bandar Seri Begawan: Brunei yang tidak mencatatkan sebarang kes dalam tempoh lima hari merekodkan satu kes baharu Jumaat lalu menjadikan jumlah keseluruhan 136 individu dijangkiti Covid-19 sejak 9 Mac lalu.

Borneo Bulletin melaporkan, tujuh pesakit sembuh sepenuhnya menjadikan jumlah keseluruhan 99 individu dibenarkan pulang selepas dirawat di hospital.

Menteri Kesihatan, Dr Haji Mohd Isham Jaafar berkata, kes terbaharu itu membabitkan lelaki tempatan berusia 28 tahun dan belajar di Indonesia.

“Lelaki itu yang diklasifikasikan sebagai kes 136 pulang dari Indonesia melalui Malaysia dengan pesawat Malaysia Airlines pada 7 April lalu dan kembali ke Brunei dengan pesawat Royal Brunei Airlines pada 8 April.

“Dia juga tidak menunjukkan sebarang gejala,” katanya.

Katanya, ia secara tidak langsung menujukkan bahawa negara berkenaan masih belum bebas sepenuhnya dari pandemik itu khususnya di kalangan mereka yang pulang dari luar negara.

“Kita tidak boleh terus selesa dan masih perlu berjaga-jaga. Kementerian Kesihatan akan terus mengingatkan orang ramai supaya mengambil langkah pencegahan.

“Orang awam juga perlu terus mengamalkan penjarakan selamat selain mengelak berkunjung ke pusat beli-belah atau pasar,” katanya.

Menurutnya, 36 kes masih menerima rawatan di Pusat Isolasi Kebangsaan di mana dua pesakit dalam keadaan kritikal.

“Kedua-duanya menerima bantuan pernafasan dan selebihnya berada dalam keadaan stabil,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 12, 2020 @ 5:02pm
    d