global

Kanak-kanak di Oslo mula ke sekolah

Oleh AFP

Oslo: Kanak-kanak prasekolah di Oslo, Norway memulakan sesi persekolahan hari ini selepas kerajaan melonggarkan sedikit sekatan akibat pandemik Covid-19.

Pihak berkuasa berkata, pembukaan semula sekolah adalah tidak mustahil memandangkan kanak-kanak termasuk dalam kumpulan berisiko rendah untuk dijangkiti virus berkenaan.

Menteri Pendidikan, Guri Melby berkata, ia adalah selamat untuk kanak-kanak menghadiri sesi persekolahan.

Namun, negara jiran, Denmark mencetuskan reaksi berbeza apabila satu undian dilakukan mendapati 24 peratus ibu bapa enggan menghantar anak mereka ke sekolah dan 13 peratus lagi tidak pasti sama ada ia adalah tindakan yang tepat.

Kanak-kanak di bawah usia tiga tahun perlu berada dalam kumpulan dengan pemantauan seorang dewasa.

Mereka yang berusia antara tiga dan enam tahun pula perlu berada dalam kumpulan seramai enam orang.

Kanak-kanak di sekolah rendah akan memulakan sesi persekolah pada 27 April nanti.

Norway adalah antara negara terawal melonggarkan sekatan sejak 12 Mac lalu, selain Austria, Denmark dan Jerman.

Sehingga kini, Norway merekodkan 7,068 kes jangkitan Covid-19 dengan 154 kematian.

Sejak awal April ini, kerajaan Norway mengumumkan pandemik berkenaan ‘di bawah kawalan’.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 20, 2020 @ 8:54pm
    d