Afrika

Kes Covid-19 di Afrika lepasi 3.31 juta

Oleh BERNAMA

Addis Ababa: Jumlah kes Covid-19 yang disahkan di benua Afrika mencecah 3,310,394 pada Rabu, lapor Agensi Berita Xinhua.

Menurut Pusat Pengawasan dan Pencegahan Penyakit Afrika (CDC Afrika), jumlah kematian akibat pandemik di Afrika berjumlah 80,970 orang pada Rabu.

Setakat ini, 2,757,548 yang dijangkiti Covid-19 sudah pulih di seluruh benua itu.

Menurut agensi itu, wilayah Afrika Selatan adalah kawasan paling teruk terjejas dengan kes positif yang disahkan di Afrika, diikuti Afrika Utara.

Negara-negara Afrika lain yang turut mencatat jumlah kes positif tertinggi termasuk Afrika Selatan Maghribi, Tunisia, Mesir, dan Ethiopia, kata agensi kesihatan Suruhanjaya Kesatuan Afrika (AU).

Menurut CDC Afrika, negara Afrika Selatan melaporkan kematian tertinggi Covid-19 di benua itu dengan 38,288 korban pada Rabu.

Sementara itu, CDC Afrika pada Selasa mengumumkan permulaan program pra-pesanan vaksin Covid-19 untuk semua negara anggota AU.

Langkah oleh Platform Bekalan Perubatan Afrika (AMSP), bagi pihak CDC Afrika, dilakukan seminggu selepas pengumuman oleh Presiden Afrika Selatan dan Pengerusi AU Cyril Ramaphosa pada 14 Januari mengenai AU telah memperoleh 270 juta dos sementara untuk vaksin Covid-19 melalui Pasukan Petugas Pemerolehan Vaksin Afrika COVID-19 (AVATT).

Bank Eksport-Import Afrika (AfreximBank) akan memudahkan pembayaran dengan memberikan jaminan komitmen pendahuluan pemerolehan sehingga AS$2 bilion kepada pengeluar vaksin bagi pihak anggotanya.

Menurut pengumuman rasmi, vaksin Covid-19 sementara yang dijamin oleh AU adalah dari Pfizer, Johnson dan Johnson dan AstraZeneca.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: January 21, 2021 @ 12:49pm
    d