Amerika Selatan

Langkah terdesak dalam tandas

Oleh Agensi

Monclova: Gara-gara ketakutan melampau dijangkiti Covid-19, seorang lelaki di Mexico menggantung dirinya.

Dilaporkan Mexico News Daily, Mario Alberto, 29, masih menunggu keputusan ujian calitan kedua sebelum membunuh diri di tandas di Hospital Besar Monclova.

Namun menyedihkan, selepas kematian mangsa rupa-rupanya keputusan ujian calitan itu menunjukkan pemuda itu negatif Covid-19.

Lelaki berkenaan tiba menerima rawatan di hospital itu Sabtu lalu selepas disahkan positif menerusi keputusan ujian kit pantas dari tempat lain.

Dengan beberapa tanda gejala pada dirinya, doktor memasukkannya ke unit khas merawat pesakit Covid-19 sementara menanti keputusan ujian calitan kedua.

Namun, pada Isnin lelaki itu memasuki tandas hospital selama 20 minit dan tidak kembali sebelum jururawat menemuinya menggantung diri pada pintu tandas.

Pentadbir Keselamatan Sosial Coahuila, Leopoldo Santillán menzahirkan kekesalan atas kejadian menimpa namun tiada rancangan mengenakan tindakan ke atas kakitangan hospital yang bertanggungjawab menjaga pemuda itu.

"Ini adalah insiden yang tak dijangka. Kita tidak boleh ambil tindakan ke atas kakitangan hospital kerana ia bukan kes pembunuhan, tetapi hanya kebetulan.

"Tambahan lagi, bukan tanggungjawab kakitangan menemani pesakit dalam keadaan fizikal seperti Alberto masuk ke bilik mandi," katanya.

Katanya, dia tidak akan membuat sebarang spekulasi kejadian itu, namun secara umumnya tidak menolak semua pesakit dirawat di hospital biasanya akan mengalami tekanan.

"Di bawah peraturan hospital, pesakit Covid-19 biasanya akan diberikan kaunseling psikologi susulan selepas mereka dibenarkan keluar dari hospital," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: January 3, 2021 @ 6:45am
    d