Amerika Utara

Biden terima suntikan vaksin Covid-19

Oleh AFP

Newark: Presiden Amerika Syarikat (AS) yang baru dipilih, Joe Biden, 78, menerima suntikan vaksin Covid-19 di Hospital Christiana di Newark, Delaware, semalam.

Ia disiarkan secara langsung di televisyen bagi meningkatkan keyakinan kepada rakyat untuk menerima suntikan itu.

Biden menerima suntikan vaksin Pfizer manakala isterinya Jill sudah menerima suntikan lebih awal.

Beliau memberitahu rakyat AS bahawa tiada apa perlu dirisaukan Biden ketika mengambil vaksin itu bagaimanapun dalam masa yang sama meminta mereka kekal memakai pelitup muka dan mematuhi nasihat pakar.

Pasangan itu menjadi figura politik berprofil tinggi terbaharu menyertai gelombang pertama program vaksinasi bertujuan menghentikan penyebaran Covid-19 yang meragut hampir 318,000 nyawa di negara itu.

Manakala bakal naib presiden, Kamala Harris dan suaminya akan menerima suntikan vaksin itu minggu depan.

Minggu lalu, Naib Presiden, Mike Pence dan isterinya menerima suntikan vaksin Covid-19 namun Presiden, Donald Trump masih belum menyertai usaha itu sehingga hari ini.

Biden menjadi presiden paling berusia dan akan mengambil alih bermula 20 Januari depan.

Ini adalah suntikan vaksinasi pertama yang mempunyai dua peringkat.

Biden berkata beliau teruja untuk ke langkah seterusnya dan memuji usaha pasukan saintis dan semua pihak yang menjayakan iaitu petugas barisan hadapan dan mereka yang melakukan tugas klinikal.

Selain itu beliau turut memuji pentadbiran Trump kerana membolehkan pembentukan dan pengeluaran vaksin yang pantas.

Bagaimanapun beliau turut mengingatkan bahawa jalan masih panjang sebelum penyebaran virus Covid-19 dapat dihentikan.

"Perlu dinyatakan ini baru permulaan. Ia akan memakan masa. Sementara itu saya harap anda mendengar nasihat pakar. Pakailah pelitup muka ketika musim perayaan ini.

"Sekiranya anda tidak perlu melakukan perjalanan, jangan pergi," katanya

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: December 22, 2020 @ 9:01am
    d