Amerika Utara

Doktor tak mahu bazir vaksin, dibuang kerja

Oleh Agensi

Washington: Niatnya tidak mahu membazir, tetapi tindakannya menggunakan vaksin yang hampir luput tempohnya membawa padah kepada doktor di Amerika Syarikat ini apabila dipecat serta-merta.

Gulf News melaporkan, Dr Hasan Gokal yang berkhidmat di sebuah hospital kerajaan di Texas menggunakan vaksin Covid-19 yang mempunyai tempoh tarikh luput enam jam sebelum bakal dibuang.

Namun, oleh kerana tidak mahu vaksin itu dibuang begitu saja, dia memutuskan menyuntik 10 orang menggunakan vaksin itu.

Dia melakukan suntikan itu di rumahnya terhadap kenalannya, pesakit terlantar, pesakit demensia berusia 80 tahun serta seorang wanita yang bergantung kepada mesin bantuan pernafasan dan terakhir isterinya sendiri yang mengalami masalah jantung.

Akibat perbuatannya itu, Gokal dipecat dan didakwa kerana mencuri 10 vaksin bernilai AS$135 (RM546).

Bagaimanapun, akhir bulan lalu, hakim menolak pertuduhan itu sebagai tidak berasas dan peguam tekad membuat rayuan di mahkamah tinggi.

Sementara itu, pihak pendakwa menyifatkan doktor itu sebagai seorang yang oportunis manakala peguamnya pula berkata tindakannya itu atas sifat tanggungjawab dan berani.

Selepas kehilangan kerjanya, Gokal yang berasal dari Pakistan dilaporkan menghabiskan masanya dengan menjadi sukarela di sebuah klinik kesihatan.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: February 12, 2021 @ 2:29pm
    d