Amerika Utara

Impak Covid-19 membawa peningkatan perkahwinan kanak-kanak

Oleh AFP

Washington: Impak Covid-19 terhadap wanita di beberapa negara boleh mengakibatkan tambahan 10 juta perkahwinan kanak-kanak pada dekad ini.

Perkara itu didedahkan oleh analisis baharu yang dikeluarkan oleh Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF).

"Penutupan sekolah, tekanan ekonomi, gangguan perkhidmatan, kehamilan dan kematian ibu bapa akibat pandemik menjadikan anak gadis ini sebagai golongan rentan dan berisiko meningkatkan perkahwinan kanan-kanak

"Kecenderungan itu, jika disahkan, akan menunjukkan kemunduran yang serius.

"Sejak 10 tahun lalu, berdasarkan kepada kajian, peratusan wanita muda yang berkahwin pada usia kanak-kanak menurun sebanyak 15 peratus. Bagaimanapun kemajuan ini terancam," katanya.

Pengarah Eksekutif UNICEF, Henrietta Fore, berkata Covid-19 menyebabkan keadaan yang lebih sukar bagi jutaan gadis seluruh dunia.

"Penutupan sekolah, pengasingan daripada rakan dan jaringan sokongan, peningkatan kemiskinan seperti menambah 'minyak kepada api' terhadap dunia yang berjuang untuk memadamnya," katanya.

Menurut kajian itu, kanak-kanak perempuan yang berkahwin awal ini lebih cenderung melalui keganasan rumah tangga dan meninggalkan bangku sekolah.

"Mereka berhadapan dengan risiko kehamilan awal dan tidak dirancang, selain komplikasi dan kematian ibu.

"Pengasingan dari keluarga dan rakan-rakan boleh menjejaskan kesihatan mental mereka," katanya.

Sementara itu, sekatan perjalanan yang membabitkan pandemik dan penjarakan sosial menjadikan ia lebih sukar untuk mendapat akses bagi rawatan kesihatan, perkhidmatan sosial dan sokongan masyarakat untuk melindungi mereka daripada perkahwinan kanak-kanak, kehamilan tidak diingini dan kekerasan jantina yang pastinya menjadikan mereka berhenti sekolah.

Tambahan itu, keluarga yang mengalami masalah ekonomi akan mengahwinkan anak gadis mereka untuk mengurangkan beban kewangan.

Laporan itu menganggarkan bahawa 650 juta gadis dan wanita yang hidup hari ini berkahwin ketika kanak-kanak, kira-kira separuh daripadanya adalah di Bangladesh, Brazil, Ethiopia, India atau Nigeria.

Fore meminta negara untuk membuka semula sekolah, melaksanakan reformasi undang-undang, memastikan akses terhadap perkhidmatan kesihatan dan sosial disamping menyediakan langkah-langkah untuk melindungi keluarga.

Dengan melakukannya, dia berkata, "kita dapat mengurangi risiko seorang gadis daripada masa kecilnya dicuri melalui perkahwinan kanak-kanak."

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 8, 2021 @ 2:27pm
    d