Asia

China bikin 'gangguan'

Oleh AFP

Beijing: Kelewatan misi yang sudah lama dirancang oleh pakar Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) ke China untuk menyiasat asal usul wabak Covid-19 'bukan hanya masalah visa,' kata Beijing semalam.

Setahun selepas wabak itu bermula, pakar kesihatan antarabangsa dijangka tiba di China minggu ini untuk lawatan yang sangat dipolitikkan untuk menyiasat permulaan virus yang pertama kali muncul akhir tahun lalu di Wuhan.

Misi sensitif 'diganggu' kelewatan dan politik dengan ketakutan untuk menyembunyikan fakta oleh Beijing.

Jurucakap Kementerian Luar, Hua Chunying berkata, perbincangan masih berlangsung di antara kedua-dua pihak mengenai "tarikh dan susunan khusus lawatan kumpulan pakar itu."

"Masalah kajian asal usul ini sangat rumit. Untuk memastikan kerja pasukan pakar antarabangsa di China berjalan lancar, kita harus menjalankan prosedur yang diperlukan dan membuat pengaturan yang relevan," katanya.

Menurutnya, pihaknya 'melakukan yang terbaik untuk mewujudkan keadaan yang baik untuk kumpulan pakar antarabangsa itu datang ke China.'

Kelmarin, Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus meluahkan kekecewaanya apabila pasukan penyiasat tidak diberi keizinan untuk memasuki China.

Awal minggu ini, pihak berkuasa China enggan mengesahkan tarikh sebenar dan maklumat lawatan itu.

Sebelum ini, WHO menyatakan bahawa China memberi keizinan untuk lawatan oleh pasukan yang terdiri daripada 10 individu.

WHO sudah berbulan-bulan menunggu untuk menghantar pasukan pakar antarabangsa termasuk ahli epidemiologi dan pakar kesihatan haiwan ke China.

Antara lain, mereka akan membantu menyiasat asal usul dari haiwan mana wabak Covid-19 berasal dan bagaimana virus itu pertama kali menular kepada manusia.

Misi itu dianggap sensitif, berikutan WHO mahupun China hingga kini belum dapat memastikannya secara khusus bagaimana ia bermula.

Sebelum ini, badan kesihatan di bawah naungan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu hanya memaklumkan siasatan akan dilaksanakan pada minggu pertama Januari.

Pengarah kecemasan WHO, Michael Ryan, ketika taklimat memaklumkan misi pasukan penyiasat virus Covid-19 agensi itu terbantut berikutan masalah visa.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: January 7, 2021 @ 6:45am
    d