Asia

Jangkitan Covid-19 varian Britain kini di Vietnam

Oleh Agensi

Hanoi: Vietnam mengesahkan mencatatkan kes baharu jangkitan Covid-19 daripada varian yang dikesan di Britain.

Menteri Kesihatan Vietnam, Nguyen Thanh Long dalam satu kenyataan berkata, mutasi baharu itu sudah menjangkiti 276 individu dan tersebar ke 10 wilayah serta bandar.

"Kluster jangkitan ini berjaya dikawal selepas enam hari virus berkenaan dikesan muncul di wilayah Hai Duong, bagaimanapun usaha mengawal virus ini di Hanoi, yang merekodkan 20 kes baharu, memerlukan tempoh lebih lama.

"Penjujukan genom menunjukkan 12 daripada 276 pesakit baharu ini positif bagi varian Britain tetapi punca penularan belum diketahui manakala bakinya positif varian mutasi terbaru.

"Kita perlu mematuhi peraturan pemakaian pelitup muka dan semua langkah keselamatan lain dengan lebih tegas," katanya seperti dilaporkan portal VN Express.

Vietnam berjaya mengawal penularan wabak itu dengan hanya merekodkan 1,851 kes jangkitan dan 35 kematian.

Ia susulan tindakan ujian saringan bersasar secara besar-besaran dan kuarantin ketat yang mendapat pengiktirafan dunia sebagai antara negara paling berjaya mengawal pandemik itu.

Kata Than, Hanoi perlu meningkatkan langkah untuk mengawal virus dan Kementerian Kesihatan Vietnam akan menyokong usaha meningkatkan kapasiti ujian kepada 40,000 orang sehari.

Hanoi sudah mengambil 15,000 sampel sejak penularan terbaru itu dan kini memiliki kapasiti melaksanakan 5,000 ujian sehari, kata seorang pegawai Jabatan Kesihatan Hanoi, semalam.

Wilayah Quang Ninh dan Hai Duong yang terletak di utara Vietnam adalah antara lokasi awal dikesan jangkitan berkenaan iaitu pada 28 Januari lalu.

Ia secara tidak langsung memecahkan rekod dua bulan tanpa jangkitan tempatan di negara ini.

Bandar Chi Linh di Hai Duong diletakkan di bawah perintah berkurung sejak minggu lalu, selepas ia muncul sebagai pusat wabak dengan 207 kes.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: February 2, 2021 @ 6:42pm
    d