Asia

Covid-19 bukan berpunca dari makmal

Oleh BERNAMA

Beijing: Hipotesis virus Covid-19 berpunca daripada kebocoran makmal tidak akan dimasukkan dalam kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada fasa seterusnya, kata ketua misi WHO, Peter Ben Embarek hari ini.

Pada sidang media, Peter menjelaskan kebocoran makmal diklasifikasikan sebagai 'sangat mustahil' untuk dijadikan punca virus itu merebak.

Hipotesis lain yang mempunyai kemungkinan lebih besar akan menjadi tumpuan kajian pasukan pakar WHO, termasuk teori virus merebak melalui hos perantara haiwan serta transmisi menerusi rantaian produk sejuk beku.

Pengarah Program Kecemasan WHO, Michael Ryan, berpandangan kerjasama kumpulan pakar antarabangsa dengan China bertujuan membolehkan dunia lebih memahami asal usul virus serta mengambil iktibar daripadanya.

Sambil menegaskan ia bukan misi siasatan 'salah laku', Ryan menegaskan WHO perlu menunjukkan rasa hormat kepada kerajaan pelbagai negara.

Beliau turut menggesa pihak terbabit supaya memberi perhatian terhadap kemajuan yang dicapai buat masa ini, di samping mengenal pasti bidang yang perlu diselidik pada masa depan.

"Sekarang kita perlu melihat kepada sains, dan semua pihak harus bekerjasama dan melakukan yang terbaik untuk mencari asal-usul virus," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: February 16, 2021 @ 7:39pm
    d