Asia

52 peratus tidak divaksin, dapat jangkitan Covid-19

Oleh AFP

Baitulmaqdis: Dos pertama vaksin Covid-19 keluaran Pfizer-BioNTech dipercayai 85 peratus berkesan menentang jangkitan Covid-19 dalam tempoh antara dua dan empat minggu selepas suntikan, berdasarkan kajian diterbitkan jurnal perubatan, The Lancet.

Satu survei turut dijalankan dalam kalangan kakitangan kesihatan di hospital terbesar di Israel, yang melaksanakan kempen vaksinasi besar-besaran pada 19 Disember lalu.

Kajian oleh Israel mendapati vaksin berkenaan berkesan sehingga 95 peratus dalam tempoh seminggu selepas dos kedua, manakala laporan The Lancet memberi tumpuan kepada lebih 9,000 kakitangan kesihatan di Hospital Sheba, berhampiran Tel Aviv.

Sekitar 7,000 daripada mereka menerima dos pertama, manakala selebihnya tidak menerima suntikan.

Daripada kumpulan itu, 170 didiagnos dengan Covid-19 selepas ujian dijalankan terhadap mereka yang menunjukkkan gejala atau mempunyai kontak rapat dengan pembawa virus.

Sebanyak 52 peratus daripada mereka (yang didiagnos dengan Covid-19) tidak disuntik vaksin.

Membandingkan dua kumpulan itu, kajian di Sheba itu mendapati vaksin berkenaan 47 peratus berkesan antara sehari hingga 14 hari selepas suntikan, meningkat kepada 85 peratus selepas 15 hingga 28 hari.

"Apa yang dapat dilihat adalah keberkesanannya cukup tinggi selepas dua minggu. Antara dua hingga empat minggu selepas vaksin, ia berkesan 85 peratus untuk mengurangkan jangkitan bergejala," kata penulis bersama kajian berkenaan, Gili Regev-Yochay.

Katanya, walaupun vaksin berkenaan terbukti berkesan, namun saintis masih menjalankan kajian adakah mereka yang mendapat suntikan penuh masih boleh menjangkiti virus itu kepada orang lain.

"Itu adalah persoalan paling utama. Kami masih mengkaji. Saya harap kami akan dapat menemui jawapannya tidak lama lagi," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: February 19, 2021 @ 10:10pm
    d