Eropah

Vaksin BioNTech-Pfizer berkesan untuk mutasi baharu Covid-19

Oleh AFP

Berlin: BioNTech menjelaskan bahawa vaksin Covid-19 yang dihasilkan bersama Pfizer mungkin boleh berfungsi melawan strain mutasi yang dikesan di Britain.

Namun, ia berkata, sekiranya perlu pihaknya boleh menyesuaikan vaksin berkenaan dalam masa enam minggu.

"Secara saintifik, tindak balas imun itu boleh bertindak terhadap varian virus berkenaan," kata Ugur Sahin, individu yang bertanggungjawab menghasilkan vaksin Covid-19 keluaran BioNTech-Pfizer.

Katanya, secara prinsipal, teknologi yang digunakan boleh membantu memulakan penghasilan vaksin yang 'meniru' mutasi baharu berkenaan dan membolehkan pihaknya menyediakan vaksin bersesuian dalam tempoh enam minggu.

Sahin berkata, varian yang dikesan di Britain itu mempunyai sembilan mutasi berbanding hanya satu dalam varian yang biasa ditemui.

Bagaimanapun, katanya dia yakin bahawa vaksin dibangunkan bersama Pfizer itu berkesan kerana ia mengandungi lebih 1,000 asid amino, dan hanya sembilan daripadanya berdepan perubahan. Ini bermakna 99 peratus daripada protein masih sama.

Katanya, ujian sedang dijalankan ke atas varian berkenaan dan keputusan dijangka dalam tempoh dua minggu.

"Kami mempunyai keyakinan saintifik bahawa vaksin berkenaan boleh melindungi namun, ia hanya diketahui selepas eksperimen ini selesai. Kami akan terbitkan data yang diperoleh secepat mungkin," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: December 22, 2020 @ 6:03pm
    d