Eropah

2 bilion dos

Oleh AFP

Geneva: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesahkan negara miskin di dunia akan menerima dos pertama vaksin Covid-19 antara hujung bulan ini hingga pertengahan Februari.

Pengarah Jabatan Imunisasi WHO, Kate O'Brien berkata, ia akan dilakukan melalui usaha perolehan dan pengedaran vaksin dengan perikatan global, Covax bagi mendapatkan dua bilion dos.

Sehubungan itu, beliau berkata, kumpulan pertama akan mula diedarkan dalam tempoh beberapa minggu lagi.

Katanya, Covax, inisiatif antarabangsa dipimpin WHO menyasarkan untuk memastikan 20 peratus daripada populasi di setiap negara disuntik dengan vaksin menjelang hujung tahun ini dengan dana diberikan bagi 92 negara ekonomi berpendapatan rendah dan sederhana yang terbabit dalam skim ini.

Ditanya tempoh terdekat negara Afrika boleh mendapatkan vaksin itu, O'Brien melalui media sosial WHO secara langsung berkata, kemudahan itu mempunyai akses terhadap lebih dua bilion vaksin.

"Kita akan mula mengedarkan vaksin ini berkemungkinan akhir Januari ini dan jika tidak, pastinya pada awal dan pertengahan Februari.

"Negara di Afrika dan Asia Tenggara serta beberapa negara lain di seluruh dunia daripada 92 ahli yang kurang berkemampuan mendapatkan vaksin akan mendapatkan kemudahan itu," katanya.

Projek Covax dipimpin secara bersama oleh WHO, gabungan vaksin Gavi dan Gabungan Bagi Inovasi Persediaan Epidemik (Cepi).

Sehingga kini, vaksin Covid-19 sudah tiba di beberapa negara kaya termasuk Amerika Syarikat (AS), Britain, negara Kesatuan Eropah dan Kanada.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: January 9, 2021 @ 6:50am
    d