Eropah

Ketua Pertahanan Sepanyol letak jawatan, dikritik terima vaksin awal

Oleh AFP

Madrid: Ketua Pertahanan Sepanyol meletak jawatan selepas dikritik hebat berikutan menerima vaksin Covid-19 walaupun tidak termasuk dalam senarai keutamaan.

Peletakan jawatan Jeneral Miguel Angel Villarroya susulan muncul skandal terhadap pegawai tentera dan ahli politik di Sepanyol mendapat vaksinasi awal yang didakwa sepatutnya disediakan untuk pekerja kesihatan serta warga emas di rumah orang tua.

"Demi menjaga nama angkatan tentera, Jeneral Villarroya hari ini menyampaikan permintaan untuk meletak jawatan kepada menteri pertahanan," kata angkatan tentera itu dalam satu kenyataan.

Jeneral berusia 63 tahun itu disebut-sebut mengatakan dia "tidak pernah berniat untuk mengambil kesempatan atas hak istimewa itu."

Peletakan jawatannya diterima Menteri Pertahanan Sepanyol Margarita Robles, kata sumber kepada AFP.

Peletakan jawatannya berlaku hanya sehari selepas Kementerian Dalam Negeri memecat seorang Leftenan Kolonel yang turut menerima vaksinasi terlebih dulu walaupun namanya tidak termasuk dalam senarai keutamaan.

Laporan itu mendakwa beberapa anggota pertahanan lain tidak menerima vaksin secara tidak wajar dan Robles memberi amaran akan memecat sesiapa jika keadaan itu berlaku.

Beberapa ahli politik juga meletak jawatan kerana menerima vaksin termasuk Manuel Villegas, penasihat kesihatan untuk wilayah Murcia.

Sepanyol kini merekodkan 55,441 kematian dengan keseluruhan kes positif mencecah 2.5 juta.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: January 25, 2021 @ 3:52pm
    d